KESATUAN Eropah (EU) bersetuju memulangkan semula jutaan dos vaksin koronavirus yang dihasilkan di Afrika Selatan, kata wakil khas Kesatuan Afrika pada Khamis.
Aspen Pharmacare Afrika Selatan, yang menghasilkan vaksin Johnson & Johnson (J&J) di bawah kontrak dengan syarikat gergasi farmasi Amerika Syarikat (AS), juga akan berhenti menghantar dos ke Eropah, kata Strive Masiyiwa kepada wartawan pada taklimat dalam talian.
Pengumuman itu dibuat ketika Afrika bergelut untuk mengimunisasi rakyatnya yang sebahagian besarnya disebabkan kekurangan bekalan dan keraguan vaksin yang meluas.
“Semua vaksin dihasilkan di Aspen akan kekal di Afrika dan diedarkan ke Afrika,” kata wakil Covid khas Kesatuan Afrika, sambil menambah yang urusan Aspen untuk mengeksport dos ke Eropah “ditangguhkan”.
“Isu ini sudah diperbetulkan dengan cara yang sangat positif.”
Pengumuman itu susulan mesyuarat di Berlin antara Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula Von der Leyen, katanya sambil menambah yang bekalan pertama dijangka bulan ini.
“Sebagai tambahan, Eropah memberi komitmen untuk membekalkan kami 200 juta dos sebelum akhir Disember,” kata Masiyiwa pada taklimat oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika.
Pada sidang media yang sama, pengarah CDC Afrika John Nkengasong berkata jumlah individu diimunisasi lengkap di benua itu adalah sekitar 2.93%.
Pada Khamis, Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran yang kebanyakan negara-negara Afrika mungkin terlepas sasaran “penting” untuk memvaksinasi 10% penduduk mereka yang paling rentan terhadap Covid-19 pada akhir bulan ini. – AFP, 3 September, 2021.
Komen