SEBAHAGIAN besar daripada 20,988 kes jangkitan baharu Covid-19 hari ini melibatkan pesakit yang tidak divaksinasi namun masih terdapat 6,133 jangkitan melibatkan penerima lengkap vaksin, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata mereka terdiri daripada 29.2% daripada jumlah kes yang direkodkan hari ini dan merupakan individu yang sudah divaksin sepenuhnya.
9,860 kes jangkitan atau 47% daripada kes jangkitan keseluruhan melibatkan mereka yang belum divaksin, manakala 4,995 atau 23.8% daripada mereka adalah yang menerima satu dos vaksin.
Secara purata kes jangkitan melibatkan penerima vaksin lengkap ini adalah 5,000 setiap hari sejak 29 Ogos.
Antara pesakit yang divaksin sepenuhnya, Dr Noor Hisham berkata 23 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
Mengikut kategori tahap pesakit, 105 kes adalah dalam kategori 5 (kritikal dan perlu alat bantuan pernafasan), yang mana 10 daripadanya sudah divaksin, 16 hanya menerima satu dos dan 81 masih belum divaksin.
Terdapat 63 pesakit dallam kategori 4 (radang paru-paru dan perlu oksigen), yang mana 13 daripada mereka divaksin sepenuhnya, 12 menerima satu dos manakala 38 lagi masih belum divaksin.
Dalam kategori 3 (radang paru-paru dan dirawat di hospital), sebanyak 171 kes direkodkan yang mana 52 daripada mereka divaksin sepenuhnya, 42 menerima satu dos manakala 77 lagi masih belum divaksin.
Bagi kategori 1 dan 2 atau bergejala ringan, mereka yang tidak divaksin adalah 9,664 kes. – 2 September, 2021.
Komen