Kes pulih Covid-19 catat rekod, jumlah kematian lepasi 17,000 kes


Ravin Palanisamy

Malaysia melaporkan 249 kematian akibat Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 17,191 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2021.

JUMLAH kes Covid-19 yang aktif di negara ini berkurangan kepada 262,540 hari ini selepas Malaysia mencatatkan 23,473 kes pulih berbanding 20,988 kes baharu, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan juga berkata, jumlah pesakit di ICU menurun dari 1,007 semalam kepada 1,001 hari ini.

Beliau berkata, terdapat 470 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan, menunjukkan sedikit peningkatan dari 464 semalam. 

Sementara itu Noor Hisham berkata, Malaysia melaporkan 249 kematian hari ini menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 17,191 kes.

Katanya, 198 daripadanya adalah rakyat Malaysia dan 51 daripadanya adalah warga asing.

Beliau menambah bahawa 80 kes hari ini adalah melibatkan kematian di luar hospital.

Noor Hisham berkata Selangor merekodkan 61 kematian, Johor (40), Pulau Pinang (39), Sabah (33), Kedah dan Kuala Lumpur (masing-masing 16), Melaka (13), Perak (sembilan), Sarawak (lapan), Kelantan (enam), Negeri Sembilan (empat), Terengganu (tiga), dan Perlis (satu).

Seramai 184 daripada jumlah mangsa hari ini mempunyai sejarah kesihatan.

Mengenai jumlah kluster, Noor Hisham berkata terdapat 31 kluster baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini sebanyak 4,804.

Beliau berkata, daripada jumlah kluster baharu, 17 berkaitan tempat kerja, 9 kluster komuniti, empat kumpulan berisiko tinggi dan satu di institusi pendidikan.

Noor Hisham berkata, 793 kes berpunca dari 17 kluster tempat kerja, sementara 198 dilaporkan dari sembilan kluster komuniti, 133 kes dari kumpulan berisiko tinggi dan 45 kes di institusi pendidikan. – 2 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen