MELAKA akan beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sementara Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa Tiga mulai 4 September, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Beliau berkata, keputusan ini dibuat dalam Mesyuarakat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Antara indikator yang dipertimbangkan untuk peralihan fasa adalah kemasukan ke hospital.
Kemasukan hospital setiap hari bagi kes simptomatik adalah 6.1 per 100,000 penduduk atau 2,000 kemasukan baharu simptomatik untuk peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 dan 3.0 per 100,000 penduduk atau 1,000 kemasukan baharu simptomatik di seluruh negara untuk peralihan dari Fasa 2 ke Fasa 3.
Ismail berkata, jawatankuasa juga memutuskan untuk membuka semula sektor pelancongan domestik dengan program gelembung pelancongan yang akan dimulakan di Langkawi.
“Saya ingin memberitahu bahawa jawatankuasa memutuskan untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi dengan syarat di bawah program gelembung pelancongan.
“Sebagai permulaan, Langkawi dipilih sebagai perintis yang akan dibuka untuk pelancong domestik mulai 16 September,” katanya.
Menurutnya, destinasi pelancongan lain akan dibenarkan beroperasi apabila vaksinasi tempatan mencecah 80%.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Nasaruddin Abdul Mutalib berkata kepada The Malaysian Insight baru-baru ini bahawa pulau berkenaan bersedia menyambut kumpulan pelancong domestik pertamanya dari 16 September dan seterusnya sebagai sebahagian daripada insiatif gelembung pelancongan kerajaan.
Pulau itu pada awalnya merancang untuk dibuka kepada pelancong pada 1 September tetapi ditangguh kerana peningkatan kes Covid-19 dalam komuniti.
Sehingga kini, kira-kira 89% penduduk Langkawi sudah divaksin sepenuhnya. – 2 September, 2021.
Komen