Kematian Covid-19 libatkan kanak-kanak meningkat tahun ini, kata KKM


Ravin Palanisamy

Sehingga 30 Ogos tahun ini, seramai 41 kanak-kanak meninggal dunia akibat Covid-19 yang menunjukkan peningkatan berbanding hanya enam kematian dicatatkan tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2021.

SEHINGGA 30 Ogos tahun ini, seramai 41 kanak-kanak sudah meninggal dunia akibat Covid-19, berbanding hanya enam kematian pada tahun lalu yang melibatkan kategori bawah 18 tahun, kata Kementerian Kesihatan.

Angka itu adalah 0.01% daripada 310,074 kes yang melibatkan kanak-kanak tahun ini yang menyaksikan peningkatan jangkitan Covid-19 secara keseluruhan berbanding tahun lepas.

Enam kematian kanak-kanak tahun lepas adalah 0.05% daripada 12,620 jangkitan yang melibatkan mereka berusia di bawah 18 tahun pada 2020.

Jumlah 41 kematian tahun ini juga 0.26% daripada jumlah keseluruhan 15,911 kematian Covid-19 dari 1 Januari hingga 30 Ogos.

Bagi tahun 2020, terdapat 471 kematian. Jumlah kes keseluruhan pada 31 Disember 2020 adalah 113,010 dengan 2,525 jangkitan baharu dicatatkan pada hari berkenaan.

Jumlah keseluruhan kes pada 30 Ogos tahun ini adalah 1.73 juta apabila kes harian berada sekitar 20,000.

Kementerian itu, dalam angka yang dikeluarkan kepada kumpulan Whatsapp media berkata, jumlah kematian tertinggi untuk kumpulan bawah 18 tahun pada tahun ini adalah antara 13 dan 17 tahun dengan 16 kematian.

Sebanyak 15 lagi kematian dicatatkan dalam kalangan kanak-kanak berusia empat tahun dan ke bawah, sementara ada sembilan kematian dicatatkan dalam kumpulan berusia 7 hingga 12 tahun. Terdapat satu kematian dalam kumpulan berusia antara 5-7 tahun.

310,074 kes yang melibatkan kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun pada tahun ini sehingga 30 Ogos adalah sekitar 19% daripada keseluruhan 1,612,347 jangkitan untuk tempoh sama sejak awal tahun ini.

Kanak-kanak dalam usia 7 hingga 12 tahun mencatatkan jangkitan paling banyak dengan 106,823 diikuti oleh usia 13 hingga 17 tahun (89,087 kes), 0 hingga 4 tahun (81,168 kes) dan 5 hingga 6 tahun (32,996 kes).

Kementerian tidak memberikan perincian lebih lanjut sama ada kanak-kanak yang meninggal dunia mempunyai sejarah kesihatan lain. – 2 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen