HARGA borong dan runcit kit ujian kendiri Covid-19 akan dikawal berkuatkuasa 5 September ini, umum Putrajaya.
Harga maksimum runcit kit ujian kendiri Covid-19 ditetapkan RM19.90 manakala harga borong RM16.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata penetapan itu bagi memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.
Kenyataan juga menyebut penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian kendiri Covid-19 dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan.
Ketika ini terdapat 11 jenis kit ujian kendiri Covid-19 dijual di pasaran, yang dijual pada harga RM28 hingga RM41.
“Permintaan terhadap kit ujian pantas antigen Covid19 (ujian kendiri) dijangkakan meningkat susulan kesedaran orang ramai bagi membuat ujian sendiri untuk memastikan diri bebas dari wabak Covid-19.
“Sebagai kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini dan sebagai tanda sokongan kementerian bagi menangani wabak Covid-19, KPDNHEP akan membuat kawalan ke atas harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) berkuatkuasa 5 September,” kenyataan itu dipetik.
Kawalan akan dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan dan Akta Kawalan Bekalan, katanya.
Sehubungan itu katanya, individu yang didapati menjual melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, atau dikompaun sehingga RM50,000.
Manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Pengguna boleh menyalurkan aduan berkaitan harga kit ujian melalui menerusi portal [email protected]; pusat panggilan 1800 886 800; emel [email protected]; aplikasi Ez ADU; Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088; dan WhatsApp 019-279 4317.– 2 September, 2021.
Komen