SEBANYAK 398,134 dos vaksin Covid-19 diberi semalam, menjadikan 35,150,474 dos telah diberi setakat ini, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekala Vaksin Covid-19 (JKJAV).
JKJAV menerusi Twitter memaklumkan setakat semalam juga 65.1% atau 15,241,655 individu dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos, manakala 85.1% atau 19,932,137 orang menerima satu dos di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Labuan mendahului dengan 94.5% atau 64,701 populasi dewasanya lengkap menerima dua dos vaksin, diikuti Lembah Klang (Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya) dengan 93.3% atau 5.8 juta orang.
Lima negeri mencatat peratusan vaksinasi bawah 50% iaitu Johor (48.8%), Perak (48.4%), Kedah (47.1%), Kelantan (46.7%) dan Sabah (40.8%), kata JKJAV.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan Malaysia dijangka memasuki fasa endemik Covid-19 bermula hujung Oktober selepas 80% populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin.
Beliau juga berkata kementeriannya mungkin akan menimbangkan untuk mewajibkan vaksinasi Covid-19 dalam usaha menangani masalah berkaitan antivaksin. – 2 September, 2021.
Komen