MENINGKATKAN jaringan internet di kawasan luar bandar akan menjadi antara agenda utama Menteri Pembangunan Luar Bandar yang baharu Mahdzir Khalid dalam melaksanakan tugasnya.
Katanya bagi menjayakan agenda berkenaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan berkolaborasi dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan jaringan internet di lokasi luar bandar yang akan dikenal pasti.
Beliau berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa tidak lama lagi bagi membincangkan bentuk kolaborasi yang akan dilaksanakan kedua-dua kementerian.
“Usaha meningkatkan jaringan internet perlu diberi keutamaan. Dulu di KPLB ini kita asyik bercakap mengenai kemudahan jalan, dewan, bekalan elektrik serta air tetapi sekarang keperluan di luar bandar adalah internet.
“Contoh mudah adalah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) perlukan internet, dan generasi muda di luar bandar sekarang juga inginkan jaringan internet yang laju,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas Menteri Pembangunan Luar Bandar di Putrajaya.
Bekas menteri, Dr Abdul Latiff Ahmad yang kini memegang jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) hari ini menyerahkan nota serah tugas kepada Mahdzir, pada majlis berkenaan.
Mahdzir bersama 29 menteri dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Isnin lepas.
Sementara itu Mahdzir yang juga ahli Parlimen Padang Terap berkata KPLB menyediakan peruntukan RM550,000 khusus bagi membantu usaha membaiki 40 buah rumah di Yan dan Merbok di Kedah yang telah dikenal pasti rosak akibat tragedi kepala air dari Gunung Jerai pada 18 Ogos lepas.
“Kerja-kerja baik pulih rumah-rumah rosak telah dimulakan sejak Ahad lepas. KPLB masih dalam proses mengenal pasti kerosakan dan keperluan pembaikan rumah mangsa,” katanya.
Mengulas pengumuman pembayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir berkata ia mencerminkan kecaknaan perdana menteri dan kerajaan terhadap rakyat berpendapatan rendah dan ia selaras konsep Keluarga Malaysia.
Ismail Sabri hari ini mengumumkan BKC akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran Fasa Satu dikreditkan mulai 6 Sept dan dijangka selesai pada 10 September ini.– Bernama, 1 September, 2021.
Komen