Malaysia akan masuk fasa endemik Covid-19 akhir Oktober, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata fasa endemik akan bermula sebaik sahaja 80% populasi dewasa divaksin sepenuhnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 September, 2021.

MALAYSIA dijangka beralih dari “fasa pandemik ke endemik” Covid-19 pada akhir Oktober, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Fasa endemik akan bermula sebaik sahaja 80% populasi dewasa divaksin sepenuhnya. Pada masa ini, kadar golongan dewasa yang divaksin sepenuhnya adalah 64.2% pada 31 Ogos.

“Kami akan menunggu sehingga akhir Oktober di mana 80% populasi dewasa dijangka diberi vaksin sepenuhnya.

“Saya percaya pada saat itu kita akan mencapai fasa di mana kita harus mulai hidup dengan virus. Sekarang ini ada beberapa keadaan dalam pendekatan mitigasi dan pencegahan.

“Dalam kes Labuan dan Sarawak, mereka berada dalam fasa endemik,” kata menteri kesihatan baharu itu pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Seseorang dianggap sudah divaksin sepenuhnya selepas 14 hari menerima suntikan kedua mereka untuk dua dos atau 28 hari untuk vaksin satu suntikan dos.

Dalam fasa endemik, lebih banyak sektor akan dibenarkan buka dan norma baharu atau prosedur operasi standard akan ditingkatkan, kata Khairy.

Pemakaian topeng muka akan diteruskan, tambahnya.

“Kita sudah melihat bagaimana beberapa negara yang mulai hidup dengan virus itu tetapi pada awalnya menghapuskan peraturan pemakaian topeng.

“Bagaimanapun mereka perlu memperkenalkan kembali peraturan pemakaian topeng dengan munculnya varian baharu,” katanya.

Endemik bermaksud bahawa ujian saringan untuk Covid-19 akan menjadi norma, dan untuk tujuan ini, kawalan harga akan dikenakan untuk alat ujian kendiri, tambah Khairy. – 1 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen