Kes baharu Covid-19 turun kepada 18,762


Ravin Palanisamy

Kes baharu Covid-19 hari ini menurun dari 20,987 kes yang direkodkan semalam apabila sebanyak 19,762 jangkitan dilaporkan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2021.

MALAYSIA mencatatkan 18,762 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir, menurun dari 20,987 kes yang direkodkan semalam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Angka hari ini adalah yang terendah dicatatkan dalam tempoh lapan hari dengan jumlah paling rendah direkodkan sebelum ini pada 23 Ogos sebanyak 17,672 kes.

Ketua pengarah kesihatan berkata, Selangor sekali lagi mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 3,771 jangkitan.

Sabah dan Sarawak pula negeri yang mencatat jumlah kedua serta ketiga tertinggi dengan 2,430 dan 2,414 kes. 

Lembah Klang, termasuk Putrajaya melaporkan 4.318 kes hari ini, dengan Kuala Lumpur mencatat 573 kes, sementara Putrajaya mencatat 34 kes.

Sementara itu, Kelantan melaporkan 1,504 kes baharu hari ini, memecah angka rekod negeri itu untuk hari kedua berturut-turut.

Semalam Kelantan melaporkan 1,479 kes.

Negeri lain yang turut melaporkan kes baharu ialah Johor (1,993), Pulau Pinang (1,762), Kedah (1,585), Perak (899), Pahang (715), Terengganu (506), Melaka (309), Negeri Sembilan (291) dan Perlis (33).

Labuan, satu-satunya wilayah persekutuan dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional yang melaporkan tiga kes baharu hari ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan 261,768 dos suntikan vaksin Covid-19 semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata, sebanyak 115,473 dos pertama diberikan sementara 146,295 dos kedua sudah diberikan.

Sehingga kini, sebanyak 34,751,340 suntikan vaksin sudah diberikan. Di antaranya 64.2% atau 15,032,301 daripada populasi dewasa sudah diberikan suntikan sepenuhnya sementara 84.3% atau 19,741,754 sudah menerima satu dos. – 1 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen