KERANA amarannya kepada guru yang menyokong pembangkang, para peguam dan aktivis hari ini mendesak Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid supaya berhenti dari mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan perbalahan dan bekerja keras memperbaiki sistem pendidikan.
Akhbar The Star hari ini melaporkan Mahdzir menyangkal laporan mengatakan beliau memberitahu guru dan pegawai bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka jika menyokong pembangkang.
Bagaimanapun, tindakannya itu diselar oleh pengamal undang-undang.
“Menteri itu tak patut sentuh langsung tentang sama ada penjawat awam sokong pembangkang atau tidak,” kata peguam Siti Kasim.
“Itu hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan, termasuklah kepada penjawat awam. Dia patut lebih tahu,” katanya.
Siti, aktivis hak asasi manusia berkata Mahdzir sepatutnya mengutamakan “penambahbaikan sistem pendidikan kita.”
“Dia sepatutnya mengutuk Islamisasi kronik yang sedang berlaku di sekolah-sekolah kita hari ini, di mana anak-anak perempuan kecil diwajibkan memakai tudung dan dipaksa sembahyang di sekolah.
“Sekolah ialah tempat untuk belajar, bukan untuk mendoktrin anak-anak dengan versi Islam seseorang,” katanya.
Akhbar Kwong Wah pada Jumaat lalu telah melaporkan Mahdzir berkata guru yang menegang jawatan dalam parti pembangkang harus berhenti kerana kritikan mereka boleh merosakkan imej kerajaan.
Mahdzir kemudian menafikan membuat sebarang ugutan atau meminta guru berhenti sekiranya menyokong pembangkang.
“Saya hanya mengingatkan mengenai jawatan mereka dan jangan mengkritik serta meletakkan had antar karier dan ideologi politik mereka,” beliau berkata seperti dipetik The Star.
“Mereka tidak boleh berada di pentas yang sama dengan pembangkang kerana mereka adalah penjawat awam yang dipertanggungjawabkan melaksanakna dasar kerajaan,” katanya.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata penjelasan Mahdzir itu masih berbentuk ugutan.
“Jika undang-undang membenarkan guru untuk memilih kesetiaan dan aktiviti politik mereka, jadi siapa dia untuk meminta mereka meletakkan had antara kerjaya dan ideologi politik mereka?
“Ini adalah sejenis ugutan,” kata Haniff. – 21 Januari, 2018.
Komen