JUMLAH pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) turun kepada 1,005 berbanding 1,033 semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Angka pesakit di ICU meningkat sejak tiga hari lalu selepas negara merekodkan jumlah pesakit di ICU paling rendah selama hampir sebulan pada 27 Ogos, dengan 982 pesakit.
Sebelum ini Malaysia merekodkan jumlah pesakit di ICU bawah 982 kes pada 25 Julai lalu, iaitu 970 orang.
Sebanyak 285 kes kematian Covid-19 turut direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian 16,664.
Sementara itu, ketua pengarah kesihatan berkata terdapat pengurangan direkodkan pada jumlah pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan hari ini iaitu 464 pesakit berbanding 478 yang direkodkan semalam.
Walaupun jumlah pesakit di ICU dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan berkurangan, jumlah kes aktif sebaliknya meningkat kepada 267,863 selepas Malaysia merekodkan 20,897 kes jangkitan baharu berbanding 18,465 kes pulih.
Jumlah kes aktif menurun semalam kepada 265,713 selepas kes pulih melebihi jumlah kes jangkitan baharu.
Mengulas lanjut mengenai kes kematgian hari ini, Noor Hisham berkata 238 mangsa adalah warga tempatan.
Beliau juga berkata daripada jumlah kematian hari ni, 98 kes adalah kematian luar hospital yang mana 63 daripadanya adalah warga tempatan manakala 35 adalah warga asing.
218 daripada mangsa hari ini mempunyai sejarah penyakit kronik.
Berhubung kematian mengikut negeri, Selangor merekodkan 139 kematian hari ini, 49% daripada jumlah keseluruhan kes kematian di seluruh negara hari ini.
Negeri lain yang turut merekodkan kematian adalah Johor (52), Kuala Lumpur (21), Sabah (15), Pulau Pinang (12), Kedah (11), Kelantan (9), Pahang (7), Melaka (5), Negeri Sembilan dan Perak (masing-masing 3), Terengganu (2), Perlis, Sarawak dan Putrajaya (masing-masing 1). – 31 Ogos, 2021.

Komen