Jelaskan nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara, kata Anwar kepada MB Selangor


Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari perlu menjelaskan perkara ini dalam pertemuan bersama pimpinan parti esok.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2021.

ANWAR Ibrahim meminta Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menjelaskan kepada pimpinan PKR keputusan kerajaan negeri pimpinannya menyahwarta sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) sejak Mei lalu.

Katanya, keputusan itu belum dimaklumkan kepada pimpinan parti sedangkan mereka sejak tahun lalu memberitahu Amirudin supaya membatalkan perkara tersebut.

“Menteri besar telah diminta untuk memberi penjelasan terperinci berhubung perkara ini dalam pertemuan bersama pimpinan parti esok,” katanya dalam satu kenyataan.

Dewan Undangan Negeri Selangor semalam diberitahu 536.70 hektar hutan simpan berkenaan dinyahwarta pada Mei lepas, hasil keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 Mei dan disahkan pada 19 Mei.

Keluasan itu dikatakan bersamaan 70 kali saiz Stadium Nasional Bukit Jalil.

Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian memaklumkan perkara itu semasa menjawab soalan lima Adun kerajaan dan pembangkang mengenai status hutan simpan itu serta cadangan untuk menambah keluasan hutan simpan kekal.

Keluasan yang dinyahwarta bagaimanapun katanya kurang daripada cadangan asal selepas mengambil kira bantahan awam serta kepentingan biodiversiti dan Orang Asli.

Kerajaan negeri juga meluluskan 581.48 hektar tanah di Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat sebagai ganti kawasan yang dinyahwarta, tambahnya, sekali gus mengekalkan keluasan tidak kurang 30% hutan simpan kekal negeri.

Hee juga memberitahu sebahagian daripada kawasan yang dinyahwarta akan dibangunkan oleh Gabungan Indah Sdn Bhd, syarikat yang ada kaitan dengan pemaju Desa Parkcity di Kuala Lumpur.

Pada Mac 2020, Amirudin berkata dua syarikat dicadang untuk membangunkan kawasan hutan simpan kekal itu iaitu Titian Jutaria Sdn Bhd dan Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI Selangor).

Susulan bantahan umum terhadap cadangan itu, satu pendengaran awam dibuat pada September 2020, yang menerima lebih 129,000 bantahan supaya kerajaan negeri melindungi kawasan hutan paya gambut yang juga sumber rezeki penduduk Orang Asli berdekatan.

Pada November 2020, DUN Selangor meluluskan usul supaya kerajaan negeri membatalkan cadangan untuk menyahwarta HSKLU.

Semalam, Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong yang juga bekas exco alam sekitar kesal dengan keputusan kerajaan negeri yang tidak mengambil kira keputusan DUN Selangor.

Hee menjawab usul persendirian di DUN Selangor tidak mengikat kerajaan negeri sebaliknya hanya jadi panduan. – 31 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen