KES Covid-19 hari ini meningkat melebihi 20,000 kes hari ini selepas Kementerian Kesihatan merekodkan 20,897 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam.
Semalam, kes menurun kepada 19,268 selepas merekodkan kes melebihi 20,000 untuk enam hari berturut-turut.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor kekal sebagai negeri yang merekodkan kes jangkitan harian tertinggi dengan 4,371 kes untuk 131 hari berturut-turut.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan di negeri itu melepasi 600,000.
Jumlah keseluruhan kes di Selangor kini adalah 603,995, manakala jumlah keseluruhan yang direkodkan seluruh negara adalah 1,746,254.
Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur (1,003) dan Putrajaya (25) merekodkan 5,399 atau 26% daripada jumlah keseluruhan kes hari ini.
Di belakang Selangor adalah Sabah dan Sarawak, masing-masing merekodkan 2,594 dan 2,285 kes.
Sementara itu Kelantan merekodkan jumlah kes jangkitan harian sebanyak 1,479. Rekod tertinggi di negeri itu adalah 1,424 kes pada 25 Ogos lalu.
Negeri lain yang turut merekodkan kes jangkitan baharu adalah Johor (2,159), Kedah (1,942), Pulau Pinang (1,732), Perak (1,204), Pahang (798), Terengganu (608), Melaka (417), Negeri Sembilan (215), dan Perlis (64).
Labuan, satu-satunya wilayah yang berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, merekodkan hanya satu kes hari ini.
Sementara itu, sebanyak 361,381 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan suntikan vaksin yang diberikan kepada 34.38 juta.
Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) daripada jumlah vaksin yang diberikan semalam 181,281 adalah penerima dos pertama manakala 180,100 adalah dos kedua. – 31 Ogos, 2021.

Komen