KADAR kemasukan ke hospital kerana Covid-19 turun separuh di Selangor disebabkan pertambahan vaksinasi di Lembah Klang, kata Amirudin Shari hari ini.
Menteri besar Selangor itu berkata Operasi Lonjakan Kapasiti Vaksinasi dibuat Putrajaya membantu mengurangkan kadar penggunaan katil hospital daripada 130% hingga 80% sekarang.
Selangor merekodkan kes harian tertinggi di Malaysia buat 130 hari berturut-turut setakat semalam.
Kes harian tertinggi negeri itu direkodkan pada 6 Ogos dengan 8,792 kes tetapi ia berkurangan kepada 3,567 kes, semalam.
Sebagai tanda solidariti, Amirudin berkata Selangor menderma 20,000 dos vaksin Sinovac kepada Pulau Pinang bagi membantu menurunkan kes harian Covid-19 di negeri itu.
“Kami menderma 20,000 dos vaksin yang boleh mevaksin 10,000 orang di Pulau Pinang untuk membantu memperhebat aktiviti vaksinasi.
“Dan dengan vaksinasi ini, kami percaya ia akan mengurangkan jumlah kes,” katanya pada sidang media di Pulau Pinang.
Tambahnya, Selangor juga bersedia menyalurkan lebih banyak vaksin ke Pulau Pinang sekiaranya ada keperluan.
Bagaimanapun, katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow baru-baru ini mendapat jaminan Kementerian Kesihatan yang bekalan vaksin ke negeri utara itu akan distabilkan.
“Tapi kami berikan pilihan terbuka untuk pinjam atau derma lebih banyak vaksin,” katanya.
Pada majlis hari ini, Selangor “meminjamkan” 20,000 dos vaksin untuk menangani bekalan rendah vaksin di Pulau Pinang yang disebabkan pembekal vaksin Pfizer berdepan masalah.
Jumlah itu akan dipulangkan oleh Pasukan Tindakan Khas Imunisasi Covdi-19 apabila bekalan vaksin kembali mencukupi. – 31 Ogos, 2021.
Komen