SELEPAS skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), satu-satunya masa depan yang ada untuk Malaysia ialah perubahan kerajaan, kata Ambiga Sreenevasan.
Pada forum tadi, peguam dan aktivis itu menekankan bahawa pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak perlu diganti supaya perubahan dapat dilaksanakan.
“Kita boleh memperoleh masa depan yang cemerlang jika kita tukar kerajaan, tiada cara lain,” katanya
“Ada orang mempersoalkan saya dan kata saya tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak.”
Bagaimanapun, Ambiga menegaskan yang beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak dan hanya menyatakan pentadbiran 60 tahun (pentadbiran Barisan Nasional) sudah sampai masanya.
“Ubah kerajaan adalah untuk kepentingan rakyat.
“Kalau anda lihat negara lain, bilangan tahun yang sama (pentadbiran), perkara sama diramalkan telah berlaku (semua masalah yang kita hadapi sekarang),” kata Ambiga pada forum “Post 1MDB and Malaysia: What Future Can We Have” di Kuala Lumpur hari ini.
Ambiga juga berkata rasuah di negara ini suatu “endemik” dan ia akan menjadi satu “tugas sukar” untuk “membongkar sejauh mana tahap rasuah” di Malaysia.
“Tetapi ia mesti bermula sekarang, kerana jika tidak, negara ini akan berada dalam masalah besar.
“Selepas 1MDB, penipuan Felda, dan ia akan melarat, kita akan menyaksikan penipuan demi penipuan jika kita tak buat perubahan,” katanya.
Tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur dipercayai telah dipindah milik melalui urus niaga yang mencurigakan pada 2015.
Akhbar pro-kerajaan pertama kali mendedahkan tanah seluas 66,000 meter persegi yang dianggarkan bernilai RM270 juta itu telah dijual tetapi Felda tidak menerima walau sesen.
Ambiga turut berkata “mereka yang berada di dalam sistem” sekarang ini tidak bersuara kerana “sudah dicemari oleh sistem”.
Memberi contoh yang berlaku di India, beliau berkata hanya segelintir sahaja yang diperlukan untuk menentang keadilan bagi melakukan perubahan.
“Baru-baru ini di India, mahkamah tinggi, hakim-hakim mahkamah tinggi telah bersuara… (mengatakan) mereka tidak boleh terus bekerja dengan ketua hakim kerana terdapat maslaah serius yang sedang berlaku.
“Dan ini tidak pernah berlaku di sini, tetapi mereka tidak boleh menerima rasuah ketua hakim dan memberikan beberapa contoh, kes yang telah ditetapkan.
“Hanya dua-tiga orang, dan kejujuran, itu saja yang diperlukan. Masalahnya kita di sini ialah tiada seorang pun di dalam sistem yang cukup berani untuk bersuara,” katanya.
Bekas pengerusi Bersih itu juga menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya melakukan perubahan seperti apa yang berlaku di India itu. – 21 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Malay expert Ahmad · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Kuasa Rakyat · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan