SATU usul percaya kepada perdana menteri baharu sepatutnya menjadi urusan pertama Parlimen apabila Dewan Rakyat mula bersidang pada 14 September, kata Lim Kit Siang hari ini.
Veteran DAP itu menambah yang beliau menyedari usul itu tidak tersenarai dalam aturan mesyuarat Parlimen.
“Sebelum tengah malam tadi, saya menerima email dari Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin tentang penangguhan seminggu sidang Parlimen yang bermula 13 September berbanding 6 September 2021.
“Tetapi yang jelas tidak ada adalah usul percaya perdana menteri dalam aturan mesyuarat Parlimen.
“Disebabkan situasi politik dan perlembagaan dalam pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia, usul percaya terhadap perdana menteri sepatutnya jadi perkara pertama urusan Parlimen pada 14 September 2021,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan.
Ismail Sabri dilantik sebagai perdana menteri baharu minggu lepas selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan kerana hilang sokongan 15 wakil rakyat dari Umno, seterusnya menafikan sokongan majoriti diterimanya di Parlimen.
Kesemua ahli Parlimen dari Umno- kecuali Tengku Razaleigh Hamzah- menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri, membolehkannya mendapat majoriti mudah.
Yang di-Pertuan Agong dalam perkenan pelantikan Ismail Sabri mengisytiharkan yang beliau perlu menguji sokongan diterimanya di Parlimen sebaik sahaja wakil rakyat kembali bersidang.
Dewan Rakyat sepatutnya bersidang pada 6 September, tetapi semalam ia ditangguhkan kepada 13 September.
Sidang selama lima minggu itu akan bermula dengan titah diraja pada hari pertama dan Rancangan Malaysia Ke-12 akan dibentangkan pada 27 September.
Bagaimanapun, usul undi percaya kepada Ismail Sabri tidak tersenarai dalam aturan mesyuarat.
Perdana menteri baharu itu sedang menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.
Beliau tidak hadir majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri semalam, pada tadi pula beliau hanya hadir secara maya pada majlis sambutan Kemerdekaan di Putrajaya. – 31 Ogos, 2021.
Komen