Hakim AS arah hospital rawat pesakit dengan Ivermectin


Sejak bermulanya pandemik Covid-19, terdapat minat yang besar untuk menggunakan semula ubat-ubatan sedia ada seperti Ivermectin untuk merawatnya. – Gambar AFP, 31 Ogos, 2021.

SEORANG wanita warga Amerika Syarikat (AS) mendapat arahan mahkamah bagi hospital di Ohio merawat suaminya yang dijangkiti Covid-19 dan menggunakan ventilator, dengan ubat antiparasitik Ivermectin.

Kes ini adalah satu dari beberapa negeri yang menyaksikan mahkamah berpihak kepada penggunaan ubat tersebut, walaupun terdapat sedikit bukti keberkesanannya dalam merawat Covid-19.

Hakim Gregory Howard memerintahkan Hospital West Chester, yang terletak di luar Cincinnati, merawat suami Julie Smith, Jeffrey Smith dengan Ivermectin, menurut arahan difailkan pada 23 Ogos.

Smith menerima preskripsi daripada doktor Fred Wagshul, yang disenaraikan di laman web dalam kumpulan dikenali “Front Line Covid-19 Critical Care Alliance” yang menganjurkan penggunaan Ivermectin.

Beliau diwakili peguam Ralph Lorigo, yang memenangi kes serupa di New York dan Chicago.

Sejak bermulanya pandemik Covid, terdapat minat yang besar untuk menggunakan semula ubat-ubatan sedia ada.

Ivermectin menarik banyak perhatian, terutama di Amerika Latin, dan kajian awal makmal menunjukkan ia mungkin mampu memerangi koronavirus.

Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, kajian makmal setakat ini gagal diterjemahkan kepada kejayaan dunia nyata, apabila mendapati kekurangan keberkesanannya yang jelas dalam ujian dijalankan.

Institut Kesihatan Nasional berkata tiada bukti mencukupi mengenai keberkesanan penggunaan Ivermectin untuk rawatan Covid-19.

Ivermectin diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan untuk merawat pesakit dengan keadaan tertentu yang disebabkan oleh cacing parasit, tetapi agensi itu memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menggunakannya untuk Covid-19.

Laporan baru-baru ini oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menunjukkan pada pertengahan Ogos, doktor mengeluarkan lebih 88,000 preskripsi ubat setiap minggu - melebihi sebelum pandemik sebanyak 3,600.

Pusat kawalan racun menyaksikan peningkatan tiga kali ganda jumlah panggilan kerana pengambilan dos berlebihan Ivermectin.

Satu kes melibatkan seorang dewasa yang meminum formulasi Ivermectin yang boleh disuntik untuk lembu dan dimasukkan ke hospital selama sembilan hari dengan keadaan tidak keruan, keletihan, halusinasi, pernafasan cepat dan menggigil.

Seorang lain membeli ivermectin dari internet, memakannya lima kali sehari selama lima hari, dimasukkan ke hospital dalam keadaan bingung dan tidak mampu menjawab soalan atau mengikut arahan. Gejala bertambah baik setelah penggunaannya dihentikan. 

Populariti ivermectin bagi merawat Covid-19 membawa kepada perbandingan dengan hydroxychloroquine, ubat anti-malaria yang disokong oleh konservatif tahun lalu, walaupun tiada bukti kukuh mengenai keberkesanannya.

Antara penyokong berprofil tinggi termasuk pengacara Fox News, Laura Ingraham dan Sean Hannity, serta Senator Republik, Ron Johnson. – AFP, 31 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen