KEADAAN akan berbeza jika serangan tidak berlaku tetapi hari ini, kami kehilangan jiwa penyayang dan bersifat kebapaan, kata Nelson Raj Nathan yang merupakan anak saudara kepada mendiang Thava Sagayam.
Thava, 64, diserang oleh seorang tetamu di sebuah kondominium di Ipoh, Perak akhir tahun lalu dan meninggal dunia di rumahnya pada Jumaat lepas selepas berbulan-bulan menderita pelbagai komplikasi akibat kecederaan yang dialami dalam serangan itu.
Dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di kondominium berkenaan dan klip video serangan itu tular di media sosial selepas warga emas itu meninggal dunia.
Menurut Nelson, Thava adalah seorang yang sangat berdedikasi dan penyayang.
Selepas berkahwin pada 2003 dengan Philomena Edward yang kini berusia 59 tahun, pasangan itu tidak mempunyai anak dan menjaga Nelson serta tiga adik beradiknya yang lain.
“Selepas 18 tahun berkahwin, kini ibu saudara saya menjadi ibu tunggal disebabkan tindakan melulu seseorang.
“Sebuah keluarga hancur dan musnah, makcik saya menderita sementara pelakunya bebas apabila dia diberi jaminan,” kata Nelson kepada The Malaysian Insight.
Nelson berkata, pakciknya sangat menyukai haiwan peliharaan dan membela tiga ekor anjing di liar di rumahnya.
Katanya, sebelum ini pakciknya menjalankan perniagaan sendiri seperti menjual aiskrim dan roti selama kira-kira 20 tahun sebelum menjadi pengawal keselamatan pada 2015.
Walaupun bekerja selama 12 jam, Nelson berkata pakciknya sangat berdedikasi dan merupakan satu-satunya yang mencari sumber pendapatan dalam keluarga selepas isterinya hilang pekerjaan di sebuah kilang akibat wabak Covid-19.
Dilaporkan bahawa Thava mengalami kecederaan di kepala dalam satu kejadian pada 29 Disember selepas diserang seorang tetamu di sebuah kondominium tempatnya bekerja.
Thava ditemui oleh seorang pekerja di kondominium itu dalam keadaan berdarah di kepalanya dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dalam keadaan separuh sedar.
Bedah siasat mendapati dia meninggal dunia akibat sepsis tetapi keluarga itu menegaskan bahawa serangan itu punca Thava terlantar sakit.
Nelson berkata, pakciknya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum diserang.
“Pakcik saya sangat aktif dan sihat dalam usianya. Tidak seperti ibu saudara saya, dia mempunyai penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan sebagainy.
“Akibat dari serangan dan kecederaan yang dialami, pakcik saya perlu menjalani lapan pembedahan di bahagian kanan otak dan hanya mampu terbaring di katil.
“Dia kemudiannya meninggal dunia kerana sepsis tetapi apa yang menyebabkan dia meninggal? Ini adalah kerana serangan yang mendatangkan komplikasi terhadap pakcik saya menyebabkan dia terlantar sakit.
“Sekiranya serangan itu tidak berlaku, adakah semua ini akan terjadi? Tidak. Kita tidak perlu melalui semua ini dan bapa saudara saya mungkin hari ini masih hidup,” katanya. – 30 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen