295 pesakit maut akibat Covid-19 


Ragananthini Vethasalam

Setakat ini jumlah kumulatif kes kematian direkodkan di seluruh negara adalah 16,382.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2021.

MALAYSIA merekodkan lebih banyak kes kematian Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu dengan 295 pesakit meninggal dunia akibat koronavirus, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kepada 16,382. Semalam sebanyak 285 kes kematian direkodkan.

Sementara itu jumlah kes aktif menurun kepada 265,713 hari ini menjadikan jumlah kes pulih mengatasi kes jangkitan baharu buat dua hari berturut-turut.

Sebanyak 267,997 kes aktif direkodkan di seluruh negara semalam.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 21,257 kes pulih direkodkan berbanding 19,268 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Ini menjadikan 1,443,262 orang pulih daripada koronavirus manakala jumlah keseluruhan kes jangkitan adalah 1,725,357.

Ketua pengarah kesihatan juga berkata terdapat 1,033 pesakit menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di hospital seluruh negara yang mana 476 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

53 kes kematian di luar hospital turut direkodkan manakala 237 mangsa mempunyai sejarah penyakit kronik.

Selangor merekodkan kes kematian tertinggi dengan 81 kes, diikuti Johor (47), Sabah (42), Kedah (36), Pulau Pinang (23), Kuala Lumpur (13), Perak (12) dan Terengganu (11).

Pahang dan Kelantan masing-masing merekodkan 7 kematian manakala Negeri Sembilan, Sarawak dan Melaka masing-masing merekodkan lima kes kematian. Perlis hanya merekodkan satu kes kematian. – 30 Ogos, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen