PULAU Pinang dijangka mengalami penurunan jumlah kes Covid-19 pada minggu ketiga bulan September apabila 100 peratus populasi dewasa mendapat sekurang-kurangnya dos pertama vaksin.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Rafidah Md Noor mengatakan, hingga semalam, 54 peratus rakyat Pulau Pinang yang berumur 18 tahun ke atas telah mendapat dua dos vaksin, manakala 82 peratus telah mendapat satu dos.
Jabatan Kesihatan menyasarkan 80 peratus penduduk Pulau Pinang akan menerima vaksin lengkap pada penghujung Oktober 2021.
“Maka dengan peningkatan kadar vaksinasi, kes-kes dijangka mula menurun,” katanya pada sidang media bersama Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini hari ini.
Turut hadir termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Abdul Razak Jaafar dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Dr Norlela Ariffin.
Sementara itu, Chow berkata sehingga semalam, jumlah kumulatif kes positif Covid
-19 di Pulau Pinang adalah sebanyak 82,979 dan peningkatan kes dalam tempoh dua minggu lalu secara tidak langsung telah memberi tekanan paling besar terhadap sistem perubatan awam di negeri ini.
“Oleh itu, kerajaan negeri berharap kerajaan Persekutuan menyegerakan agihan sumber tenaga, perubatan dan imunisasi ke Pulau Pinang kerana ketiga-tiga unsur ini dapat membantu kami menghadapi cabaran ini,” katanya. – Bernama, 30 Ogos, 2021.
Komen