GURU dan kakitangan sekolah perlu dimasukkan di dalam kumpulan yang diutamakan untuk menerima vaksin Covid-19 agar sekolah di Eropah dan Asia Tengah dapat terus dibukan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Unicef hari ini.
Langkah-langkah untuk memastikan sekolah dapat terus dibuka sepanjang wabak termasuk menawarkan vaksin Covid-19 kepada guru dan kakitangan sekolah sebagai sebahagian daripada kumpulan populasi sasaran dalam rancangan vaksinasi nasional, tulis agensi PBB dalam satu kenyataan.
Disebabkan sekolah dibuka semula selepas cuti musim panas, agensi itu berkata ia penting memastikan pembelajaran di kelas terus tidak terganggu susulan penyebaran virus varian Delta yang lebih menular.
“Ini sangat penting untuk pendidikan anak-anak, kesihatan mental dan kemahiran sosial agar sekolah dapat membantu melengkapkan anak-anak menjadi anggota masyarakat yang bahagia dan produktif,” kata pengarah wilayah Eropah WHO, Hans Kluge dalam kenyataan berkenaan.
“Wabak ini menyebabkan gangguan pendidikan yang paling dahsyat dalam sejarah,” tambahnya.
Agensi tersebut menggesa semua negara memvaksinasi kanak-kanak berusia lebih 12 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kerana mereka berisiko lebih tinggi tinggi dijangkit Covid-19.
Mereka juga mengingatkan pentingnya langkah-langkah untuk memperbaiki persekitaran sekolah semasa pandemik termasuk pengudaraan yang lebih baik, ukuran kelas yang lebih kecil, jarak sosial dan ujian Covid-19 untuk anak-anak dan kakitangan. – AFP, 30 Ogos, 2021.
Komen