PM kontak rapat, tidak hadir angkat sumpah menteri, kata pejabatnya


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mulai menjalani kuarantin kendiri hari ini selepas disahkan kontak rapat kepada pesakit Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob disahkan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dan mulai hari ini menjalani kuarantin kendiri, kata pejabatnya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan Ismail Sabri tidak akan hadir ke istiadat angkat sumpah anggota Jemaah Menterinya di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, petang ini.

“Dimaklumkan bahawa Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini mula menjalani kuarantin kendiri setelah disahkan kontak rapat kepada pesakit Covid-19,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Ismail Sabri juga akan menyertai secara maya acara sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang berlangsung di Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya, esok, tambah kenyataan itu.

Awal hari ini, Bernama juga melaporkan Ahli Parlimen Kimanis Mohamad Alamin tidak dapat hadir mengangkat sumpah timbalan menteri pendidikan kerana dijangkiti Covid-19.

Katanya, beliau sedang dirawat di Kuala Lumpur dan dalam keadaan baik serta stabil.

Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera, mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada Sabtu, 21 Ogos, susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin yang hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Selepas memulakan tugas di Pejabat Perdana Menteri pada pagi Isnin, 23 Ogos, Ismail melawat Kedah pada hari sama untuk meninjau dan menziarahi penduduk yang terjejas dalam insiden kepala air dari Gunung Jerai dan banjir lumpur.

Pada 27 Ogos, Ismail Sabri mengumumkan anggota Jemaah Menteri.

Keesokan harinya beliau pulang ke Bera dan menghadiri tiga majlis, termasuk menziarahi kubur ibu bapanya di Temerloh.

Perdana Menteri juga hadir menyaksikan eksesais Tentera Darat Malaysia yang turut disertai Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Zamrose Mohd Zain.

Beliau kemudian menyampaikan bantuan bakul makanan kepada wakil penduduk di Bera.

Pada malam sama, Ismail Sabri hadir ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di ibu pejabat parti di Menara Dato Onn di Pusat Perdagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Semalam, Ismail Sabri beliau menyaksikan pula pemberian vaksin kepada penerima kesejuta dos vaksin AstraZeneca di pusat pemberian vaksin di WTCKL. – 30 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen