7,000 sertai protes bantah peraturan baharu vaksin di Greece


Sebahagian orang ramai yang menyertai tunjuk perasaan di Athens bagi membantah peraturan baharu mewajibkan petugas kesihatan mendapatkan vaksin Covid-19. – Gambar EPA, 30 Ogos, 2021.

KIRA-KIRA 7,000 orang menyertai tunjuk perasaan di Athens semalam, sebagai bantahan terhadap peraturan baharu yang mewajibkan pekerja kesihatan diberi vaksin Covid-19, kata polis yang melepaskan gas pemedih mata bagi menghentikan keganasan di kalangan peserta.

Perubahan peraturan, yang mula dikuat kuasakan pada Rabu, mewajibkan semua pekerja hospital diberi vaksin.

Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Greece dan plakad bertulis, “Kami tidak menentang vaksin, tetapi menentang fasisme” dan “Hidup demokrasi”.

“Sungguh mengagumkan saya mendapat cuti sakit kerana enggan divaksinasi selepas berbulan-bulan membantu membendung wabak ini, saya bekerja dalam keadaan yang sangat sukar,” kata Christos Bakakios, seorang pemandu ambulans yang menyertai tunjuk perasaan.

Seorang jururawat, yang memberikan namanya sebagai Lina berkata: “Sistem kesihatan Greece akan runtuh jika mereka menyisihkan semua petugas yang enggan menerima vaksin.”

“Hospital sudah sesak. Ia tidak masuk akal,” tambahnya.

Keganasan meletus pada sebelah petang. Satu kumpulan melemparkan batu dan botol ke arah polis yang bertindak balas dengan gas pemedih mata, menurut seorang videografer AFP di tempat kejadian.

Kerajaan Greece pada Selasa mengumumkan larangan baharu dan akhir bulan depan, ujian percuma bagi mereka yang masih enggan divaksin dalam usaha untuk meningkatkan kadar vaksinasi.

Kerajaan mengambil langkah untuk menggalakkan orang ramai divaksinasi, ketika varian Delta Covid-19 yang menular.

Pada masa ini 99% pesakit koronavirus yang sakit teruk, diintubasi di hospital, belum diberi vaksin.

Kakitangan rumah jagaan diwajibkan mendapat vaksin sejak pertengahan Ogos.

Seramai 10 pekerja di sebuah rumah jagaan di Volos, baru-baru ini digantung kerja.

Lebih 5.7 juta daripada jumlah keseluruhan 10.7 juta penduduk Greece sudah divaksinasi sepenuhnya terhadap koronavirus.

Tetapi penyebaran varian Delta terus membangkitkan kebimbangan.

Semalam Greece melaporkan kira-kira 1,500 kes baharu Covid-19.

Lebih 13,600 orang meninggal dunia kerana penyakit itu sejak wabak bermula. – AFP, 30 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen