Kes Covid-19 Pulau Pinang naik sebab kurang stok vaksin, kata Ramasamy


Ragananthini Vethasalam

Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy berkata peningkatan kes Covid-19 di Pulau Pinang juga disumbangkan oleh kuster membabitkan kilang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2021.

KURANG bekalan vaksin dan kemunculan kluster baharu Covid-19 di kilang-kilang yang dibenarkan beroperasi menjadi punca kenaikan kes jangkitan di Pulau Pinang, kata Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy.

Negeri itu mencatat purata 1,726 kes Covid-19 sehari dalam tempoh seminggu, tambahnya. Jumlah keseluruhan kes di Pulau Pinang yang digelar ‘Lembah Silikon Timur’ kini mencecah lebih 80,000 sejak pandemik mula melanda negara pada Januari tahun lalu.

Untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan vaksin di negeri itu, Pulau Pinang meminjam 200,000 dos vaksin daripada kerajaan negeri Selangor bagi membolehkan 225,226 populasi dewasa negeri itu menerima suntikan imuninasi pertama Covid-19. 

“Kami masih menunggu lebih banyak bekalan vaksin.

“Apabila Pulau Pinang berjaya mencapai sasaran vaksinasi, lebihan vaksin akan dipulangkan semula kepada Selangor,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Setakat Sabtu lalu, 54% atau 738,414 penduduk dewasa di Pulau Pinang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19, manakala 82% atau 1.12 juta lagi baru menerima satu dos.

Menurut Ramasamy, sekitar 1.38 daripada 1.7 juta populasi negeri itu akan disuntik vaksin.

“Kita perlu pastikan penduduk negeri ini disuntik dua dos vaksin secepat yang mungkin.

“Buat masa ini mungkin lambat sedikit kerana bekalan dari kerajaan persekutuan masih belum mencukupi.

“Apa guananya kalau ada PPV (Pusat Pemberian Vaksin) tetapi tak ada vaksin?” ujarnya.

Tambahnya, operasi beberapa PPV di Pulau Pinang terpaksa dihentikan sementara kerana tiada bekalan vaksin. 

Ramasamy bagaimanapun berkata kerajaan negeri memahami kekurangan bekalan mungkin disebabkan proses agihan tergendala akibat pembubaran Kabinet susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada 16 Ogos lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada 15 Ogos berkata empat PPV utama di negeri itu ditutup sehari ekoran kekurangan bekalan vaksin Pfizer. Penutupan menyebabkan janji temu bagi suntikan kedua dos vaksin pada hari itu terpaksa dijadual semula.

PPV terbabit adalah Kompleks Sukan Balik Pulau; Balai Rakyat Bayan Baru dan Tapak Pesta di Sungai Nibong, dan PPV di Dewan Milenium, di Seberang Perai Utara.

Susulan penutupan itu juga, pemberian dos kedua vaksin di beberapa PPV di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) dan hospital swasta juga terpaksa ditunda serta dijadual semula.

Empat PPV utama di Pulau Pinang ditutup sehari pada 15 Ogos lalu ekoran kekurangan bekalan vaksin Pfizer. – Gambar AFP, 30 Ogos, 2021.

Kes meningkat

Pertambahan kes harian Covid-19 di Pulau Pinang antaranya disebabkan peningkatan ujian saringan, kata  Ramasamy.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri sangat bimbang dengan kemunculan kluster-kluster membabitkan kilang. Masalah utama kita ialah Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) benarkan kilang-kilang beroperasi.

“Saya faham (atas faktor) ekonomi tetapi apa yang paling penting ialah jangkitan tidak akan hilang jadi saya fikir ia hanya akan berkurang apabila semakin ramai orang disuntik vaksin.

“Mereka yang sudah lengkap vaksin pun boleh dijangkiti, tetapi kesannya mungkin tidak seteruk orang yang langsung tidak divaksin,” katanya.

Beliau juga menyelar Kabinet Muhyiddin kerana tiada penyelarasan antara Miti dan agensi-agensi  berkaitan.

“Kalau kerajaan persekutuan tidak boleh bekerja bersama-sama, maka kerajaan negeri tidak boleh dipersalahkan kerana sejak awak lagi kami sudah bercadang untuk membeli sendiri vaksin.

“Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah) tidak boleh uruskan pendemik ini sendirian. Seluruh kerajaan dan agensi perlu terlibat,” jelasnya.

Ramasamy dalam pada itu memuji kecekapan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika menjawat jawatan menteri sains, teknologi dan inovasi sebelum ini.

Beliau turut berharap Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi berkaitan akan berfungsi lebih baik susulan pelantikan Khairy. – 30 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen