India beri 10 juta dos vaksin Covid-19 dalam sehari


India berjaya memberikan 10 juta dos suntikan vaksin Covid-19 pada Jumaat, sekali gus mengatasi rekod hariannya sebanyak 9.2 juta sebelum ini. – Gambar EPA, 30 Ogos, 2021.

INDIA memberikan lebih 10 juta suntikan vaksin Covid-19 sehari untuk pertama kalinya, kata pihak berkuasa pada Sabtu, dalam usaha mengekang lonjakan jangkitan baharu.

Kementerian kesihatan berkata rekod 10 juta dos itu diberi pada Jumaat, mengatasi catatan harian sebelumnya sebanyak 9.2 juta. 

Kerajaan dikritik selepas gelombang koronavirus pada April dan Mei meragut nyawa lebih 200,000 orang.

Perdana Menteri Narendra Modi menyifatkannya sebagai “prestasi penting” bagi negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk itu.

“Pujian bagi mereka yang mendapatkan vaksin dan menjadikan program vaksinasi berjaya,” katanya di Twitter.

Kerajaan mensasarkan kira-kira 1.1 bilion orang dewasa menerima vaksinasi pada akhir tahun ini tetapi berdepan masalah kekurangan bekalan, kekeliruan pentadbiran dan keraguan.

Hanya sekitar 15% mendapatkan dua dos vaksin sejak program bermula pada Januari.

Jumlah jangkitan harian India menurun secara mendadak sejak lonjakan dahsyat pada April dan Mei yang membebani infrastruktur kesihatannya.

Hampir semua sekatan pergerakan dan aktiviti ditarik balik walaupun pakar memberi amaran mengenai gelombang baharu yang melanda seawal bulan depan ketika musim perayaan bermula.

Jumlah kes harian mulai meningkat lagi melebihi 40,000 dan lebih 500 kematian dilaporkan pada Sabtu. 

Sebanyak 46,000 kes baharu dilaporkan, merupakan angka tertinggi dalam tempoh dua bulan. Sebahagian besar lonjakan itu berpunca akibat lonjakan di bahagian selatan negara, Kerala.

India kini memberikan tiga vaksin - Oxford-AstraZeneca, yang dikenali sebagai Covishield, Covaxin oleh firma India Bharat Biotech dan Sputnik V. buatan Rusia.

India setakat ini mencatatkan 437,370 kematian dan lebih 32 juta jangkitan, yang kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat. Pakar berkata jumlahnya mungkin tinggi sebanyak 4 kali ganda. – AFP, 30 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen