Pelbagai faktor punca 'tembusan' jangkitan Covid-19, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Mereka yang sudah mendapat vaksin lengkap dilaporkan antara kes baharu Covid-19 beberapa hari kebelakangan ini, dengan kategori 4 dan 5 yang memerlukan bantuan oksigen dan intubasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2021.

DAYA tahan badan yang lemah, masalah kesihatan dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mungkin antara penyebab “tembusan” jangkitan Covid-19, kata pakar.

Ia merujuk kepada seseorang yang dijangkiti penyakit selepas disuntik vaksin yang bertujuan untuk mencegah penyakit itu.

Mereka yang sudah mendapat vaksin lengkap dilaporkan antara kes baharu Covid-19 beberapa hari kebelakangan ini, dengan kategori 4 dan 5 yang memerlukan bantuan oksigen dan intubasi.

Sehingga semalam, terdapat 34 orang yang sudah mendapat vaksin lengkap dirawat di unit rawatan rapi kerana Covid-19.

Bagaimanapun, jumlah mereka jauh lebih kecil berbanding pesakit yang tidak divaksinasi, dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan vaksinasi masih berkesan untuk mencegah Covid-19 yang teruk bagi kebanyakan individu.

Pakar Virologi Dr Chee Hui Yee dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia (UPM)berkata ketahanan imuniti berperanan dalam penularan jangkitan.

“Satu daripada puncanya adalah imuniti semula jadi badan yang lemah,” katanya.

“Imuniti semula jadi penting bagi imuniti setempat, terutama kekebalan mukosa sistem pernafasan.”

Presiden Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata kini diketahui yang vaksinasi tidak memberi perlindungan 100% terhadap koronavirus tetapi mampu membantu mengurangkan penyakit yang teruk.

“Keparahan kes juga bergantung kepada status kesihatan pesakit, komorbiditi dan kekuatan jangkitan,” katanya.

Beliau juga berkata pematuhan SOP masih penting walaupun bagi mereka yang sudah mendapat vaksin penuh ketika berada di tempat awam.

Profesor madya epidemiologi perubatan UPM, Dr Malina Osman berkata ada kemungkinan tembusan jangkitan datang dari negeri dengan jumlah kes yang tinggi.

Maklumat terperinci dari mana jangkitan tidak didedahkan dalam kenyataan akhbar harian Noor Hisham.

“Pada pendapat saya, kita harus melihat data mengikut negeri. Apa yang kita ada setakat ini adalah nilai kumulatif bagi semua pesakit dalam kategori 4 dan 5,” kata Malina.

“Berdasarkan angka kes baharu saat ini, beberapa negeri mungkin mencatat jumlah lebih tinggi, yang mencerminkan penularan lebih tinggi di lapangan.”

Beliau berkata mereka yang sudah diberi vaksin lengkap tetapi gagal mematuhi SOP boleh dijangkiti virus tersebut.

Walaupun Selangor masih merupakan negeri dengan jumlah jangkitan baharu tertinggi setiap hari, kes juga meningkat di negeri lain seperti Kelantan, Johor, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Malina berkata ini adalah petunjuk yang orang ramai perlu waspada dan memastikan pematuhan berterusan terhadap SOP walaupun sudah selesai mendapat dua dos vaksin. – 30 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen