ENAM negeri dengan kadar vaksinasi yang rendah perlu menyuntik lebih 50% populasi dewasa dengan dua dos vaksin Covid-19 pada akhir September, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Enam negeri berkenaan adalah Terengganu (46.2%), Perak (46.5%) Johor (44.9%) Kelantan (43.2%) Kedah (43%) serta Sabah (37.1%).
“Saya sudah berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) untuk fokus terhadap enam negeri ini,” katanya kepada wartawan pada sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di WTC KL di Kuala Lumpur hari ini.
“Saya mahu enam negeri ini mencapai 50% perlindungan pada akhir September,” katanya.
Beliau berkata, ia akan lebih baik sekiranya negeri-negeri berkenaan dapat mencapai sasaran 50% sebelum akhir September.
“Saya mahu sebelum akhir September semua enam negeri ini kadar vaksinasi telah melebihi 50 peratus (untuk populasi dewasa), tak mahu ada negeri yang kurang daripada itu,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan pemberian suntikan vaksin COVID-19 dos yang ke satu juta di pusat pemberian vaksin World Trade Centre Kuala Lumpur (PPV WTCKL) di sini hari ini.
Perdana menteri berkata bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar, beliau telah mengarahkan pihak Mosti supaya menggunakan bekalan vaksin sedia ada dalam negara dan tidak menunggu sehingga tempahan vaksin tertentu tiba.
“Jika vaksin kita tempah ada masalah penghantaran, tak perlu tunggu vaksin itu, sebaliknya beralih kepada vaksin sedia ada. Contohnya Pharmaniaga Berhad yang membotolkan Sinovac, mereka sentiasa sedia dengan vaksin di kilang mereka,” katanya.
Beliau menambah, Sabah juga akan menerima dos tunggal vaksin CanSino.
Ismail berada di PPV WTC KL hari ini bagi menyaksikan suntikan penerima vaksin ke sejuta.
Suntikan vaksin terhadap jurugambar Zamratulazmi Sarmadi, 38, dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim. – 29 Ogos, 2021.
Komen