Royale Chulan Penang PKRC berisiko rendah mulai 2 September


Royale Chulan Penang hotel kedua di Pulau Pinang dijadikan PKRC. – Gambar Facebook, 29 Ogos, 2021.

HOTEL bertaraf empat bintang Royale Chulan Penang di Georgetown akan menjadi pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) berisiko rendah mulai 2 September ini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Yeoh Soon Hin, berkata langkah itu akan menyediakan satu lagi pilihan kuarantin di bawah tanggungan sendiri kepada pesakit Covid-19 berisiko rendah.

“Sebelum ini, hotel itu beroperasi sebagai hotel kuarantin yang menempatkan pekerja kilang, bagaimanapun peningkatan kes Covid-19 di Pulau Pinang memerlukan penubuhan segera PKRC tambahan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Yeoh, yang juga pengerusi Pusat Pelancongan Perubatan Pulau Pinang (PMED), berkata Royale Chulan Penang adalah hotel kedua di negeri itu yang dijadikan sebagai PKRC selain Vouk Hotel Suites.

Beliau berkata, hotel yang menjadi PKRC dilengkapi bantuan perubatan 24 jam sehari untuk pesakit.

“Kami menerima banyak panggilan daripada pesakit Covid-19 yang bimbang mereka mungkin menjangkiti rakan atau ahli keluarga semasa menjalani kuarantin kendiri di rumah,” katanya.

Pesakit berisiko rendah yang berminat menjalani kuarantin kendiri di Royale Chulan Penang boleh melayari MySafeQ untuk membuat permohonan atau menghubungi Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (04-2175100) untuk menguruskan kuarantin kendiri di Vouk Hotel Suites. – Bernama, 29 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen