SEORANG paderi dan tiga lelaki didakwa merogol serta membunuh seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, kata polis India.
Kejadian itu juga mencetuskan tunjuk perasaan di New Delhi selama beberapa hari.
Kanak-kanak itu diserang oleh paderi, 53, dan tiga pekerjanya pada 1 Ogos selepas dia pergi ke tempat membakar mayat untuk mengambil air.
Keempat-empat lelaki itu yang berada dalam tahanan sejak mereka ditahan awal Ogos bakal berdepan hukuman mati.
Ibu kanak-kanak berkenaan sebelum ini memberitahu polis bahawa suspek memanggil anaknya ke tempat membakar mayat dan mendakwa anaknya terkena renjatan elektrik.
Mereka memberitahu ibu mangsa bahawa jika kejadian itu dilaporkan kepada polis, doktor akan melakukan bedah siasat dan mengeluarkan organ dalaman anaknya untuk dijual.
Mayat anak perempuannya kemudian dibakar sebelum beberapa penduduk tempatan masuk campur dan menarik cebisan mayat yang hangus dari tempat pembakaran berkenaan.
Kertas pertuduhan 400 muka surat dari Polis Delhi menyebut “bukti saintifik, teknikal dan lain” serta keterangan saksi, kata kerajaan dalam satu kenyataan semalam.
Polis menambah, ada desakan agar tuduhan dikenakan dalam 30 hari dari kejadian yang digambarkan sebagai “toleransi sifar” jenayah terhadap wanita dan remaja perempuan di negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk.
Kira-kira 90 kes pemerkosaan wanita dan remaja perempuan dilaporkan di India setiap hari pada 2019, menurut data dari Biro Rekod Jenayah Nasional.
Tetapi sebilangan besar serangan seksual dipercayai tidak dilaporkan. – AFP, 29 Ogos, 2021.
Komen