KOS sara hidup yang tinggi melanda rakyat Sabah dengan hampir enam daripada 10 responden mengakui terpaksa bergelut menjalani kehidupan, menurut satu kajian di negeri itu baru-baru ini.
Kenaikan kos barangan dan perkhidmatan serta kekurangan pembangunan infrastruktur disebut menjadi punca mengapa 44% daripada mereka yang ditinjau percaya Sabah mendapat layan tidak adil daripada Putrajaya.
Kaji selidik The Malaysia Insight yang dijalankan Merdeka Center itu dilakukan kepada sebahagian 905 pengundi berusia 21 tahun ke atas, 43% Bumiputera Islam, 39% Bumiputera bukan Islam dan 17% Cina.
Sabah sejak sekian lama dilihat sebagai negeri deposit tetap bagi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri dan umum.
Bagaimanapun, kaji selidik yang dijalankan pada April dan Mei menyatakan terdapat kegelisahan ketara di kalangan pengundi. Sentimen ini didorong pendapat yang negeri dan negara menuju ke arah yang salah.
Terdapat juga kebimbangan pihak berkuasa tidak mengambil serius isu utama seperti pendatang tanpa izin dan keadaan ekonomi yang negatif di negeri ini.
Kira-kira 66% daripada pengundi yang ditinjau tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi semasa di Sabah,” kata Ibrahim Suffian, pengarah eksekutif Merdeka Center, yang menjalankan kajian itu antara 26 April hingga 9 Mei.
“Ini adalah satu sentimen yang menular dalam semua pembolehubah demografi, dan lebih ketara di kalangan pengundi berpendapatan rendah,” katanya.
Tidak mengejutkan, 61% daripada pengundi tidak berpuas hati dengan cara kerajaan Sabah mengendalikan ekonomi, berbanding 33% yang berpuas hati.
Sebahagian besar daripada isi rumah di Sabah menyara hidup dengan pendapatan kurang RM4,000 sebulan, kata Ibrahim.
Hanya kakitangan awam, mereka yang berpendapatan RM5,000 sebulan dan berpendidikan tinggi berkata berpuas hati dengan kedudukan kewangan mereka.
Kebimbangan ekonomi mendahului senarai isu yang dihadapi responden dengan Putrajaya pada kadar 33%. Selain itu, inflasi, tidak membayar royalti minyak dan kelembapan ekonomi secara umum turut menjadi tiga isu teratas.
Sebanyak 23% tidak berpuas hati dengan Putrajaya serta menyenaraikan beberapa sebab seperti pembangunan infrastruktur yang tidak mencukupi dan jurang antara kemudahan awam di kawasan luar bandar dan bandar.
“Sikap negatif muncul dilihat lebih kuat di kalangan pengundi muda berbanding kumpulan umur yang lain,” kata Ibrahim. – 19 Mei, 2017.
Komen