Wilayah di Jepun gantung penggunaan vaksin Moderna


Beberapa kumpulan vaksin Moderna yang diedarkan di Jepun dikesan mengandungi bendasing yang mencemarkan kandungannya. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2021.

WILAYAH Okinawa di Jepun menggantung penggunaan vaksin Covid-19, Moderna, hari ini selepas lebih banyak kes pencemaran vaksin diterima, kata kerajaan tempatan.

Keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Jepun berkata ia sedang menyiasat kematian dua orang lelaki yang menerima suntikan vaksin Moderna yang tercemar, walaupun punca kematian masih tidak dapat dipastikan.

Wilayah Okinawa di selatan Jepun pada Ahad berkata sebahagian besar program vaksinasi di kawasan itu ditangguhkan.

“Kami menggantung penggunaan vaksin Covid-19, Moderna, kerana bendasing dikesan di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan vaksin tercemar yang dikesan di Okinawa semalam berbeza daripada 1.63 dos yang digantung selepas kes kematian dua lelaki itu, menurut laporan berita tempatan.

Penggantungan itu berlaku selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan dua lelaki berusia 30 dan 38 tahun meninggal dunia pada awal Ogos lalu selepas menerima suntikan kedua vaksin Moderna.

Dos disuntik kepada kedua-dua lelaki itu adalah daripada tiga kumpulan yang digantung kerajaan pada Khamis selepas beberapa botol vaksin dikesan tercemar.

Kementerian bagaimanapun berkata ia masih menyiasat punca kematian dan sekiranya ada kaitan dengan vaksin diambil mangsa.

“Ketika ini, kita masih tidak mempunyai sebarang bukti yang kematian itu disebabkan vaksin Covid-19, Moderna, dan sangat mustahak untuk melakukan siasatan rasmi bagi menentukan sebarang kaitan,” kata Moderna dan pengedar vaksin itu di Jepun, Takeda dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu.

Sifat bendasing yang ditemui dalam botol vaksin kumpulan tercemar itu juga masih belum dikenal pasti, kumpulan vaksin yang tercemar itu berasal dari Eropah.

“Botol sudah dihantar ke makmal untuk dianalisis dan penemuan awal akan tersedia awal minggu depan,” kata Moderna dan Takeda.

Kontraktor pembuat vaksin Moderna, syarikat farmasuetikal Sepanyol, Rovi, dalam kenyataan pada Khamis berkata ia sedang menyiasat punca pencemaran melibatkan kumpulan vaksin itu yang hanya diedarkan di Jepun.

Hanya 44% penduduk Jepun sudah menerima vaksin penuh ketika negara itu bergelut mengekang penularan varian Delta yang lebih berbahaya dan ganas.

Lebih 15,800 orang maut kerana Covid-19 di Jepun dan kebanyakan kawasan di Jepun masih dikenakan sekatan pergerakan yang ketat. – AFP, 29 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen