PM ucap takziah kepada keluarga Lajim Ukin 


Lajim Ukin menghembuskan nafas terakhirnya jam 6.23 pagi tadi dan jenazahnya akan disemadikan di kampung halamannya di Kampung Kebatu, Beaufort, Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 29 Ogos, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Lajim Ukin yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Pakar KPJ, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan kepada negara, Ismail Sabri mendoakan semoga segala khidmat baktinya mendapat ganjaran sebaik-baiknya daripada Allah SWT.

“Semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin,” katanya dalam catatan di Facebooknya.

Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang juga bekas timbalan ketua menteri Sabah itu menghembuskan nafas terakhirnya jam 6.23 pagi tadi dan jenazahnya akan disemadikan di kampung halamannya di Kampung Kebatu, Beaufort, Sabah.

Sepanjang hayatnya, Lajim, 66, pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Parlimen Beaufort dan Dewan Undangan Negeri Klias, selain pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kabinet persekutuan antaranya timbalan menteri pengangkutan dan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan. – Bernama, 29 Ogos, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen