AHMAD Zahid Hamidi berkata sikapnya terhadap kerajaan tidak berubah walaupun Umno kini menerajui kerajaan, setelah Ismail Sabri Yaakob diangkat perdana menteri yang baharu.
Presiden Umno berkata beliau akan terus memantau, memberi pandangan dan cadangan serta menegur kerajaan kerana baginya semua itu dilakukan untuk kepentingan rakyat dan negara.
“Ramai tertanya-tanya apakah sikap dan pendekatan Presiden Umno selepas ini?
“Sikap dan pendekatan terhadap isu-isu kepentingan rakyat dan negara selepas kerajaan bertukar?
“Jawapannya tiada apa yang akan berubah. Tiada apa yang akan berkurangan,” katanya dalam satu komentar di Facebook.
Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada 21 Ogos, menggantikan Muhyiddin Yassin yang letak jawatan selepas hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Muhyiddin hilang majoriti selepas Ahmad Zahid mengetuai kumpulan 14 ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan mereka kepadanya untuk menerajui kerajaan Perikatan Nasional.
Ahmad Zahid berkata beliau mahu membantu kerajaan baharu membendung penularan Covid-19 dan memacu semula ekonomi negara yang teruk terjejas serta menjaga kebajikan rakyat.
Katanya, sikap dan tindakannya itu selari dengan titah Yang di-Pertuan yang berharap semua pihak bersama-sama membantu pemulihan negara.
“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno juga telah menetapkan panduan untuk kerajaan baharu.
“Kita menaruh kepercayaan tinggi kerajaan baharu di bawah perdana menteri baharu bersikap terbuka,” katanya.
MKT Umno kelmarin mengemukakan enam cadangan yang dibincang dalam mesyuaratnya, yang turut disertai Ismail Sabri.
Mesyuarat itu juga memutuskan menyokong dan membantu beliau sebagai perdana menteri. – 29 Ogos, 2021.
Komen