SEKATAN pergerakan penuh di bandar kedua terbesar di Australia, Melbourne akan dilanjutkan, umum pihak berkuasa hari ini ketika wilayah itu terus bergelut mengawal ledakan wabak Covid-19 varian Delta.
Hampir tujuh juta orang di Melbourne dan wilayah sekitarnya, Victoria dijadualkan menamatkan empat minggu kawalan penuh pergerakan pada Khamis, tetapi Ketua Menteri Dan Andrews berkata ia tidak mungkin berlaku kerana kes terus meningkat dengan 92 kes baharu dilaporkan semalam.
Ia adalah sekatan pergerakan penuh keenam dikuatkuasa di wilayah itu yang melibatkan perintah berkurung, penutupan taman permainan dan sekatan aktiviti senaman.
“Kita masih ada terlalu banyak kes dalam komuniti dan lama lagi kita hendak buka semuanya bagi mendapatkan semula kebebasan yang kita sanjung dan mahukan kembali,” kata Andrews.
Andrews tidak mendedahkan tempoh arahan duduk di rumah akan dikuatkuasa, berkata pegawai akan “meneliti beberapa pilihan lain”.
Sementara itu, di New South Wales yang terletaknya bandaraya paling padat di Australia, Sydney pula merekodkan 1,218 kes hari ini, seterusnya menjadikan kes harian tertinggi dilaporkan negara itu.
Hampir 19,000 kes dikesan di negeri dengan lapan juta penduduk itu sejak varian Delta mula mengganas pada pertengahan Jun lalu.
Tetapi dengan kadar vaksinasi semakin melonjak di New South Wales dan pihak berkuasa menjangkakan 70% orang dewasa akan lengkap divaksin menjelang Oktober, penduduk yang sudah muak dengan sekatan pergerakan kini dijanjikan sedikit kebebasan.
Di kawasan bukan zon merah, lima orang dewasa yang sudah menerima vaksin penuh boleh berkumpul di luar sehingga sejak bermula pertengahan September dan pihak berkuasa memberi bayangan majlis perkahwinan kecil-kecilan juga boleh diadakan.
Pemimpin Australia bersetuju dengan pelan nasional untuk membuka semula ekonomi sebaik sahaja sasaran vaksinasi mencecah 70% dan 80% di kedua-dua negeri dan wilayah itu.
Negara dengan 25 juga penduduk itu merekodkan lebih 51,000 kes Covid-19 dan hampir 1,000 kematian sejak pandemik bermula tahun lepas. – AFP,29 Ogos, 2021.
Komen