PENGEMBARA lengkap vaksinasi yang memasuki negara ini dari Johor perlu membuat permohonan kuarantin di rumah kepada jabatan kesihatan negeri sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum mereka tiba di Malaysia, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan berkata, ini kerana kementerian menerima banyak permohonan untuk kuarantin di rumah.
Permohonan boleh dihantar ke [email protected].
“Peengembara juga mesti menjalani pemeriksaan Covid-19 menggunakan kit ujian RT-PCR Covid-19 tiga hari sebelum berlepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham mengatakan pihak berkuasa kesihatan akan melakukan penilaian risiko terhadap pelancong yang masuk dan permohonan kuarantin di rumah akan diluluskan jika mereka memenuhi syarat.
Katanya, ini terbuka kepada rakyat Malaysia dan bukan warganegara termasuk penduduk tetap, peserta program Malaysia Rumah Kedua Ku dan mereka yang mempunyai permit kerja.
Hanya penerima dua dos vaksin Pfizer, Sinovac, Astra-Zeneca, Spikevax (Moderna) dan Covilo (Sinopharm) dibenarkan melakukan perjalanan ke Malaysia dengan sekurang-kurangnya 14 hari selepas dos kedua.
Sementara mereka yang menerima vaksin tunggal seperti Johnson & Johnson dan Convidecia (CanSino) harus melepasi tempoh sekurang-kurangnya 28 hari.
Beliau berkata, pengembara harus menjalani penilaian kesihatan dan ujian RT-PCR Covid-19 lain sewaktu tiba di Johor.
Katanya, pelancong yang disahkan positif dan bergejala ringan akan dibenarkan untuk menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan pengesahan ujian PCR.
Bagaimanapun, mereka yang mempunyai gejala sederhana dan teruk akan dirujuk kepada pihak kesihatan untuk tindakan selanjutnya. – 28 Ogos, 2021.
Komen