KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 36 kluster baharu Covid-19 hari ini, 23 daripadanya berkaitan dengan tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 23 kluster tempat kerja secara keseluruhannya menyumbang kepada 1,002 kes.
Selain itu, ada 12 kluster komuniti yang menyaksikan 391 kes dan satu membabitkan kumpulan berisiko tinggi yang mencatat 57 kes.
Paling besar dalam kalangan kluster tempat kerja adalah kluster kilang Industri Sri Lalang di Kluang, Johor yang melaporkan 262 kes. Kebanyakan daripada kluster itu dikaitkan dengan kilang.
Dr Noor Hisham turut berkata, kebanyakan daripada penularan dalam kluster komuniti dikaitkan dengan kes indeks bergejala manakala dua disebabkan kunjungan dan satu dikaitkan dengan perkahwinan.
Dua kluster yang disebabkan kunjungan adalah Kampung Pangkal Kala (9 kes) dan Taman Harmoni Kampung Tong (28 kes) di Pasir Mas, Kelantan.
Kluster Lima di Nabawan, Sabah yang menyumbang 62 kes berpunca daripada satu majlis perkahwinan.
Kluster komuniti terbesar dalam senarai hari ini adalah Kampung Simpok di Serian, Sarawak yang melaporkan 102 kes. Kluster itu dikesan selepas pesakit indeks dikenal pasti sebagai kontak rapat bagi satu kes positif.
Bagi kluster berisiko tinggi, kluster Jalan Denai Satu Kempas di Johor Bahru dikesan di rumah warga emas. Kluster itu melaporkan 57 kes.
Dr Noor Hisham berkata, ketika ini ada 1,468 kluster aktif di negara ini. – 28 Ogos, 2021.
Komen