Delta kini varian dominan di Sarawak, kata Unimas


IHCM ditugaskan menguji sampel dan analisis penjujukan genom untuk mengesan perubahan dalam virus di Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2021.

VARIAN Delta Covid-19 kini dikenal pasti sebagai varian dominan yang menjangkiti penduduk di Sarawak, menurut Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Pengarah IHCM Prof Dr David Perera, berkata setakat 17 Ogos lalu, institut itu melakukan penjujukan genom pada 220 kes positif dengan 179 tambahan varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) dikesan daripada kes itu.

“Daripada jumlah VOC/VOI ini, 178 adalah varian Delta manakala satu lagi adalah daripada satu kes dikenali VOI Indonesian yang dikesan di Bintulu baru-baru ini.

“Secara keseluruhan, kadar pengesanan varian Delta adalah 82% yang diperhatikan dalam laporan ini, menunjukkan peningkatan daripada 73% yang dilaporkan pada 17 Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak wabak Covid-19 melanda negara tahun lalu, IHCM berada di barisan hadapan melawan pandemik di negeri ini, ditugaskan dengan menguji sampel dan analisis penjujukan genom untuk mengesan perubahan dalam virus itu.

Dr Perera berkata, hampir semua jujukan kes di bahagian Kuching adalah varian Delta dengan kadar pengesanan 99% (68 daripada 69 jujukan kes).

“Kadar pengesanan varian Delta yang tinggi turut dikesan di bahagian Samarahan iaitu 93% (38 daripada 41 kes) dan di bahagian Serian dengan 95% (16 daripada 17 kes).

“Peningkatan ketara pada kadar pengesanan varian Delta yang tinggi juga didapati di Bintulu dengan 84% (20 daripada 24 kes), Miri pada kadar 65% (9 daripada 14 kes) dan Sibu sebanyak 60% (16 daripada 27 kes),” katanya. – Bernama, 28 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen