MALAYSIA melaporkan 22,597 jangkitan baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam dengan sembilan negeri mencatat lebih seribu kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baru ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,685,510.
Sembilan negeri itu adalah Selangor (5,814), Kuala Lumpur (1,111), Sabah (2,834), Johor (1,896), Sarawak (2,427), Kedah (2,162), Pulau Pinang (1,920), Kelantan (1,289) dan Perak (1,061).
Negeri dan wilayah persekutuan lain yang melaporkan kes baru hari ini adalah Negeri Sembilan (345), Melaka (269), Pahang (579), Terengganu (739), Perlis (98) dan Putrajaya (48).
Labuan yang merekodkan kadar vaksinasi lengkap tertinggi di negara ini, melaporkan lima kes.
Sebanyak 343,900 dos vaksin Covid-19 diberikan di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, semalam.
Setakat ini, 61.1% atau 14.3 juta orang dewasa sudah melengkapkan dua dos manakala 81.5% atau 19.1 juta pula telah menerima dos pertama.
Labuan merekodkan kadar vaksinasi lengkap tertinggi dengan 63,750 orang atau 93.1% populasi dewasa sudah menerima dua dos. – 28 Ogos, 2021.

Komen