India vaksinasi 10 juta sehari


Hampir semua larangan pergerakan dan aktiviti dibenarkan semula di India. – Gambar EPA, 28 Ogos, 2021.

INDIA memberi lebih 10 juta suntikan Covid-19 dalam sehari buat kali pertama, menurut pihak berkuasa pada Sabtu, ketika negara Asia Selatan itu memperkukuhkan usaha perlindungan kerana bimbang mengenai gelombang baharu.

Kementerian kesihatan berkata, catatan 10 juta itu dilepasi pada Jumaat, mengatasi rekod terdahulu 9.2 juta sehari. Kerajaan berdepan kritikan selepas gelombang teruk koronavirus pada April dan Mei membunuh lebih daripada 200,000 penduduknya.

Perdana Menteri Narenda Modi menyifatkan kejayaan itu sebagai “pencapaian bersejarah” buat negara yang mempunyai 1.3 bilion populasi.

“Tahniah kepada yang menerima vaksinasi dan kepada yang menjayakan proses vaksinasi,” tulisnya dalam laman Twitter.

Kerajaan menyasarkan untuk memberi vaksinasi kepada kira-kira 1.1 bilion dewasa hingga hujung tahun ini namun kekurangan bekalan, kekeliruan pentadbiran dan keraguan terhadap vaksin menyukarkan proses itu. Hanya kira-kira 15% sudah menerima dua dos sejak usaha itu bermula pada Januari.

Jumlah jangkitan harian India merudum secara dramatik sejak gelombang besar pada April-Mei.

Hampir semua larangan pergerakan dan aktiviti dibenarkan semula walaupun pakar meramalkan gelombang baharu seawal-awalnya bulan depan ketika musim perayaan bermula.

Angka kes harian kembali meningkat melebihi 40,000 dan lebih daripada 500 kematian dilaporkan pada Sabtu. Kes baharu 46,000 pada Sabtu adalah jumlah tertinggi dalam tempoh 2 bulan, kebanyakannya disebabkan peningkatan di negeri selatan Kerala.

India ketika ini menggunakan tiga vaksin - suntikan Oxford-AstraZeneca, dikenali sebagai Covishield di negara itu, Covaxin oleh firma India, Bharat Biotech dan vaksin buatan Rusia, Sputnik V. – AFP, 28 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen