61% populasi dewasa lengkap 2 dos vaksin Covid-19, kata JKJAV


Sebanyak 33.4 juta dos vaksin telah diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari, kata JKJAV. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2021.

SEBANYAK 343,900 dos vaksin Covid-19 diberi semalam, turun ketara berbanding 408,295 dos pada Khamis, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian di Twitter berkata pemberian vaksin semalam membabitkan 141,492 dos pertama dan 202,408 dos kedua.

Setakat semalam juga seramai 14,297,962 individu atau 61.1% daripada populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin, manakala penerima dos pertama 81.5% atau 19,090,140 orang, tambahnya.

Labuan merekodkan jumlah pemberian dos vaksin tertinggi dengan 63,750 orang atau 93.1% daripada populasi dewasa sudah lengkap dua dos vaksin.

Secara keseluruhannya, sebanyak 33.4 juta dos vaksin telah diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari. – 28 Ogos, 2021. 

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen