ITALI akan melaksanakan semula sekatan pergerakan di Sicily bagi membendung jangkitan Covid-19, umum kerajaan semalam, susulan peningkatan kes di pulau itu.
Mulai Isnin, orang ramai diwajibkan memakai pelitup muka di tempat awam dan pelanggan di restoran dihadkan hanya empat orang semeja.
“Saya baru sahaja menandatangani perintah yang meletakkan Sicily dalam zon kuning.
“Ini bermakna kita masih belum menang melawan pandemik,” kata Menteri Kesihatan Roberto Speranza pada sidang media, sambil menekankan pentingnya vaksinasi dan pematuhan kepada peraturan sekatan pergerakan.
Sicily diletakkan di bawah zon kuning, iaitu tahap kedua berisiko rendah dalam empat fasa sekatan pergerakan, berdasarkan kadar jangkitan Covid-19 dan jumlah pesakit di hospital.
Semua wilayah di Itali diisytiharkan sebagai zon putih (berisiko rendah) sejak Jun lalu.
Sejak bulan ini, kerajaan mewajibkan pas kesihatan atau Pas Hijau Covid-19 bagi pengunjung restoran, muzium dan acara sukan. Pas tersebut juga akan diwajibkan kepada guru dan penumpang pengangkutan awam termasuk penerbangan domestik, feri dan kereta api jarak jauh mulai 1 September.
Sekatan pergerakan lebih ketat dilaksanakan di Sicily berikutan kadar vaksinasi di pulau itu masih rendah dan ia dikunjungi ramai pelancong sempena musim panas.
Italy negara Eropah pertama yang teruk dilanda Covid-19 tahun lalu, mencatat lebih 129,000 setakat ini.
Hampir 69% individu dewasa di Itali sudah menerima dua dos vaksin Covid-19. – AFP, 28 Ogos, 2021.
Komen