UMNO menyokong penuh pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri dan akan membantu beliau bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan, kata presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, presiden Umno itu berkata, kerajaan semasa tidak boleh dipanggil sebagai pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebaliknya kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ seperti yang dinyatakan perdana menteri dalam ucapan sulungnya.
“(Ini kerana) kerajaan ini dibentuk menerusi kerjasama politik longgar antara gabungan parti Barisan Nasional (Umno, MCA, MIC dan PBRS), parti Perikatan Nasional (PPBM, PAS dan Star), GPS dan PBS,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat majlis kerja tertinggi selama 4 jam di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur malam ini.
Ia mesyuarat pertama parti itu sejak Naib Presiden I Ismail Sabri dilantik sebagai perdana menteri Sabtu lalu dan diadakan beberapa jam selepas ahli parlimen Bera itu mengumumkan kabinet seramai 30 menteri pagi tadi.
Ahmad Zahid berkata, ia antara beberapa ketetapan yang dibincang dan dipersetujui bersama dengan perdana menteri baharu itu, antaranya bekerja dalam suasana permuafakatan rentas parti.
Beliau berkata, parti itu menjunjung kasih nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama rentas parti bersama pembangkang sekali gus menangani bersama krisis ekonomi dan pandemik Covid-19.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan baharu patut memberi tumpuan untuk menangani pandemik Covid-19 dan memperbaiki proses pengambilan vaksinasi dalam usaha mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian di negara ini.
Presiden itu berkata, ketetapan lain termasuk menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat termasuk penambahbaikan pakej bantuan rakyat, moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik.
Beliau turut berkata, kerajaan mesti mempertahankan peranan sistem demokrasi berparlimen sebagai wahana semak dan imbang.
“Umno mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan.
“Ini termasuk untuk mewujudkan Parlimen yang lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih,” katanya. – 28 Ogos, 2021.
Komen