KABINET baharu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob “mengecewakan” kerana tiada beza dengan Kabinet bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Dr Mahathir berkata Ismail Sabri melantik orang yang sama walaupun prestasi mereka teruk sebelum ini.
“Saya dapati tidak banyak perubahan daripada Kabinet Muhyiddin, sama sahaja.
“Orang yang sama dilantik walaupun semasa bersama Muhyiddin tidak menunjukkan kejayaan,” katanya hari ini secara strim langsung.
Ahli Parlimen Langkawi itu menambah walaupun ada muka baharu seperti Shahidan Kassim, yang dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan, beliau masih ragu-ragu sama ada menteri baharu mampu melaksanakannya.
“Ada orang seperti Shahidan yang boleh bercakap, tetapi bukan buat kerja.”
Dr Mahathir menambah terlalu banyak perhatian diberi kepada hal membabitkan politik dan bukannya mengenai bagaimana mengawal pandemik Covid-19.
“Saya dapati tiada tekanan berkenaan macam mana hendak kurangkan kes berkaitan Covid-19.
“Kes-kes bertambah tapi asyik bercakap pasal politik, untuk mengadakan kerjasama dengan parti lawan. Semuanya berkaitan dengan politik.
“Masalah rakyat menderita tidak nampak satu pun tindakan, saya kecewa dengan keadaan ini kerana tiada yang berubah. Sama saja,” katanya.
Awal hari ini, Ismail mengumumkan 30 anggota Kabinet yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berkhidmat di bawah Muhyiddin.
Beliau juga mengambil langkah sama seperti Muhyiddin dan tidak melantik timbalan perdana menteri.
Sebaliknya, terdapat empat menteri kanan, juga daripada pentadbiran sebelumnya: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin. – 27 Ogos, 2021.
Komen