MALAYSIA berada di tangga tercorot dalam senarai kemajuan 53 negara yang membuka semula ekonominya di tengah krisis pandemik Covid-19, lapor Bloomberg.
Walaupun kadar vaksinasi melebihi purata 49.4%, Malaysia menunjukkan tahap memalukan sekalipun menjalani perintah kawalan pergerakan dengan catatan tertinggi 81 mata daripada 53 negara yang disenaraikan.
Senarai 53 itu adalah negara terbesar ekonomi dunia yang dikira menerusi bagaimana keberkesanan Covid-19 ditangani dengan paling kurang gangguan sosial dan ekonomi.
Malaysia juga mencatat angka terburuk bagi jumlah kes Covid-19 bagi setiap 100,000 orang sepanjang bulan lalu dengan 1,793. Ia juga mempunyai kadar ujian positif sebanyak 14% dan 450 kematian bagi setiap 1 juta orang.
Catatan lain di bawah “kapasiti pembukaan semula” turut menyaksikan Malaysia meraih mata yang rendah bagi kapasiti penerbangan dan perjalanan kembara bagi yang divaksinasi ketika sempadan negara terus ditutup bagi kebanyakan jenis perjalanan kecuali perniagaan penting dan rakyat Malaysia yang pulang atau pasangan warga asing dan penduduk tetap.
Dari segi ekonomi, Malaysia mempunyai ramalan pertumbuhan KDNK paling rendah pada 2021 iaitu 4.4%, lebih rendah daripada negara jiran Asia Tenggara, Vietnam (6.5%) dan Filipina (4.5%), tetapi lebih tinggi berbanding Thailand (1.2%) dan Indonesia (3.8%).
Semua lima negara Asia Tenggara menduduki lima tangga terbawah dalam Covid Resilience Ranking.
Laporan Bloomberg bagi bulan Ogos yang dikeluarkan semalam, menyatakan varian Delta menyebabkan negara lain merosot dalam ranking, sekalipun mereka menunjukkan kemajuan dalam vaksinasi secara besar-besaran dan membuka semula ekonomi.
Sembilan daripada 10 tangga teratas ranking Covid-19 itu adalah negara Eropah dengan Norway di tangga teratas manakala Singapura satu-satunya negara Asia di tangga kelapan. – 27 Ogos, 2021.
Komen