KIRA-KIRA separuh daripada 779 guru di Johor yang belum mengambil vaksin Covid-19 mempunyai alasan kesihatan untuk menolak suntikan itu, kata Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini.
Guru tidak sepenuhnya menolak vaksinasi tetapi ingin menangguhkan janji temu mereka, dengan alasan kesihatan antaranya alergi dan kehamilan, katanya dalam catatan di Facebook.
“Daripada 779 guru yang awalnya menolak vaksin, hanya 396 yang menolaknya kerana keraguan mengenai vaksin itu.
“Selebihnya sudah memutuskan untuk menangguhkan temu janji mereka sekarang kerana alahan, kehamilan dan keadaan kesihatan kurang baik.
“Beberapa guru kini sudah bersetuju untuk mendaftar pengambilan vaksin,” kata Tunku Ismail selepas menemui guru terbabit di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor, hari ini.
Katanya, pertemuan itu turut dihadiri pegawai atasan seperti Setiausaha Kerajaan Negeri Azmi Rohani, Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan) Mohd Noh Ibrahim, mufti negeri Yahya Ahmad dan timbalan mufti Ahmad Faisal Mohamed.
Tunku Ismail menemui guru hari ini selepas Pengerusi Pendidikan, Maklumat, Budaya dan Warisan Negeri, Mazlan Bujang mendedahkan pada persidangan DUN baru-baru ini 779 guru di Johor menolak vaksinasi Covid-19.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, minggu lalu menggesa guru untuk menjadi contoh dengan mengambil vaksin Covid-19 dan melindungi murid mereka daripada virus itu.
Sultan Ibrahim menegaskan penjawat awam, termasuk guru tidak perlu meragui pentingnya mendapatkan vaksin untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat terhadap koronavirus.
Tunku Ismail mengatakan beliau yakin pertemuan hari ini berjaya meyakinkan guru untuk mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula pada Oktober.
“Dalam pertemuan itu, saya juga berkongsi maklumat mengenai program vaksinasi di Johor dan situasi terbaharu pandemik Covid-19 di negeri ini.
“Saya harap semua guru menyedari tanggungjawab mereka dengan selalu memberikan contoh yang baik dan berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – 27 Ogos, 2021.
Komen