PENYIASAT kini kesuntukan masa untuk mencari punca penularan Covid-19 di China, ekoran cabaran birokrasi untuk meneruskan siasatan dalam Fasa 2, kata anggota bebas dalam pasukan itu.
Pasukan pengkaji itu memberitahu jurnal Nature, ia ekoran arahan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada Julai untuk membentuk jawatankuasa khas bagi menyelia siasatan seterusnya.
Menurut penyiasat terbabit, mereka mengalu-alukan perkembangan itu kerana akan membolehkan siasatan rutin dijalankan, dan bukan lagi secara ad hoc.
Bagaimanapun, proses itu berpotensi untuk menyebabkan misi terpaksa ditunda sehingga beberapa bulan, kata pengkaji berkenaan.
“Wakil negara anggota perlu merundingkan terma baharu meliputi isu sensitif menyiasat amalan makmal, kemudian mencalonkan anggota pasukan yang perlu membangunkan rangka kerja.”
Mereka menyebut, siasatan Fasa 2 itu antara lain perlu melihat kepada data asas mengenai kes Covid-19 paling awal, yang disebut berjumlah 174 pesakit.
“Pasukan China waktu itu dan kini masih enggan berkongsi data mentah (sebagai contoh, mengenai 174 kes yang dikenalpasti pada Disember 2019), dengan alasan kebimbangan mengenai kerahsiaan pesakit.”
Pengkaji berkenaan turut mengulangi dapatan kajiannya awal yang membawa hipotesis bahawa asal-usul virus tersebut dari makmal terlalu besar untuk diabaikan.
Bagaimanapun, mandat untuk meneruskan kajian berdasarkan hipotesis tersebut terhad kerana tidak dicakupi dalam terma asal kajian WHO yang menumpukan kepada kaitan dengan haiwan.
“Laporan WHO ke atas asal usul pandemik Covid menumpukan kepada pasaran haiwan, bukan makmal.”
Kemungkinan virus yang memasuki populasi manusia itu berasal dari makmal dan disebut sebagai kebocoran makmal juga bukan terma rujuan asal untuk pasukan penyiasat, kata mereka.
Ia mendedahkan, pasukannya bagaimanapun tetap menyiasat perkara itu walau dengan mandat dan masa yang terhad di Wuhan sewaktu kajian dilakukan pada Januari.
Dalam tempoh itu, mereka cuba memahami fungsi makmal dalam peringkat awal pandemik berkenaan dan prosedur keselamatan biologi fasiliti tersebut.
Ia termasuk masalah kesihatan atau cuti sakit kakitangan disebabkan penyakit pernafasan untuk tempoh akhir 2019, namun masih tidak mendapat kerjasama pihak berkuasa China, kata mereka.
Oleh itu, fasa kedua kajian perlu meneliti kebimbangan tersebut dan menyemak data berkenaan, kata pengkaji berkenaan lagi dalam laporan di Nature.
Seramai 11 pengarang laporan itu terdiri dari pakar virologi, antaranya Marion Koopmans, Peter Daszak, Vladimir G Dedkov, Dominic E. Dwyer, Elmoubasher Farag dan Thea K Fischer.
Lima lagi penyiasat itu terdiri dari David T S Hayman, Fabian Leendertz, Ken Maeda, Hung Nguyen-Viet dan John Watson. – 27 Ogos, 2021.
Komen