Malaysia catat rekod 24,599 kes baharu Covid-19 hari ini 


Ravin Palanisamy

Kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan negara bertambah kepada 1,640,843. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 24,599 kes baharu Covid-19 pada tengah hari ini, rekod baharu untuk negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah tertinggi sebelum ini adalah 23,564 kes, yang dicatat pada 20 Ogos.

Kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,640,843.

Selangor sekali lagi menduduki tempat teratas kes baharu mengikut negeri dengan 6,936 kes, menjadikan jumlah keseluruhan negeri kepada 579,732.

Jangkitan baharu di Kuala Lumpur (881) dan Putrajaya (20) menjadikan jumlah kes di Lembah Klang sebanyak 7,837 kes, bersamaan 32% daripada jumlah keseluruhan negara hari ini.

Tiga negeri lain melaporkan angka rekod hari ini adalaj Johor yang menyaksikan peningkatan besar sebanyak 2,785 kes baharu.

Jumlah tertinggi Johor sebelumnya adalah 1,832 kes, yang dilaporkan semalam.

Sabah dan Pulau Pinang adalah dua lagi negeri yang melaporkan rekod baharu dengan masing-masing sebanyak 3,487 dan 2,078 kes. 

Kedua-duanya berada di kedudukan kedua dan ketiga dalam senarai negeri yang mempunyai kes paling banyak.

Sabah dan Pulau Pinang melaporkan kenaikan berbanding kes pada 24 Ogos dengan masing-masing 3,376 dan 2,054 kes.

Negeri lain yang melaporkan kes baharu hari ini adalah Sarawak (2,024), Kedah (1,538), Kelantan (1,312), Perak (1,170), Pahang (690), Terengganu (567), Negeri Sembilan (526), ​​Melaka (515) dan Perlis (67) kes.

Labuan, satu-satunya negeri wilayah persekutuan yang beralih ke Fasa 4 pelan pemulihan negara, melaporkan tiga kes baharu.

Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 berkata sebanyak 423,380 vaksin diberikan semalam - 161,386 orang dengan dos pertama dan 261,994 suntikan kedua.

Secara keseluruhannya, seanyak 32,635,907 juta dos vaksin diberikan sejak program ini bermula pada 24 Februari.

Labuan mempunyai kadar vaksinasi lengkap tertinggi di kalangan populasi dewasa sebanyak 92.8% atau 63.575 orang. – 26 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen