Kompromi kunci perpaduan pembangkang, kata pemerhati


Raevathi Supramaniam Noel Achariam

Pakatan dan parti pembangkang lain perlu mencari persefahaman untuk bekerjasama dan mengelakkan pertembungan banyak penjuru pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2021.

PERLU ada kompromi sekiranya Pakatan Harapan (PH) mahu bekerjasama dengan parti pembangkang lebih kecil bagi mencapai impian mereka mewujudkan barisan pembangkang bersatu pada pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis dan ahli Parlimen.

Langkah ini kata mereka, akan membolehkan PH dan parti pembangkang lain mencari persefahaman untuk bekerjasama dan mengelakkan pertembungan banyak penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata kerjasama itu akan membolehkan PH memenangi lebih banyak kerusi pada PRU15.

“Dengan kerjasama di bawah ‘Khemah Besar’ PH, PH Plus boleh mengelakkan pertembungan banyak penjuru. Ini akan membantu mereka memenangi lebih banyak kerusi dan tidak akan bersaing sesama sendiri,” kata Hisommudin kepada The Malaysian Insight.

Majlis Presiden PH sebelum ini berkata gabungan itu akajn mengambil pendekatan terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep “Khemah Besar” bagi mengatasi permainan dan percaturan politik.

Mereka berkata usaha untuk memperkukuhkan di bawah pendekatan “Khemah Besar” adalah berpandukan agenda reformasi dan kebajikan rakyat.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Senator Amanah Raj Munni Sabu turut menggesa agar PH menjemput parti pembangkang lain untuk memperkukuhkan gabungan itu.

Yeoh mencadangkan PH secara rasmi menjemput semua parti pembangkang, terdiri daripada Warisan, Muda, Pejuang, Upko dan PSB, untuk menyertai gabungan itu.

Hisommudin berkata meyakinkan Pejuang, Muda dan Warisan untuk menyertai PH juga akan melibatkan rundingan kerusi.

“Sekiranya mereka berjaya dalam rundingan kerusi, ini akan menjadi kejayaan besar untuk PH pada pilihan raya umum akan datang, yang menjadi paling sukar dalam sejarah.”

Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata dengan menyertai PH, parti pembangkang lebih kecil juga akan berpeluang mendapat kelebihan.

“Seperti yang berlaku dengan gabungan parti-parti politik, menjadi sebahagian daripada gabungan dapat menguntungkan sebuah parti melalui penyatuan sumber-sumber terutama semasa pilihan raya.”

Beliau bagaimanapun berkata sama ada parti setuju atau tidak untuk bekerjasama akan bergantung kepada apakah mereka bersetuju dengan visi, dasar dan kelebihan pengundi yang sama.

“Parti pembangkang yang baharu seperti Pejuang dan Muda masih berkira-kira sama ada mereka boleh berdiri sendiri pada pilihan raya akan datang atau menyertai gabungan yang sedia ada.” – 26 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen