38 pesakit ICU lengkap 2 dos vaksin Covid-19, kata KP kesihatan


Ravin Palanisamy

Daripada jumlah itu, 25 orang dalam Kategori 5 dan 13 lagi pesakit Kategori 4. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2021.

SERAMAI 38 individu lengkap dua dos vaksin Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah itu, 25 orang dalam Kategori 5 (kritikal dan perlu bantuan pernafasan) dan 13 lagi pesakit Kategori 4 (radang paru-paru dan perlu bantuan oksigen).

Seramai 30 lagi individu lengkap dua dos vaksin berada dalam Kategori 3, yang mengalami radang paru-paru tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen, katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, 22,164 atau 97.9% daripada 22,642 kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah pesakit Kategori 1 (tidak bergejala) dan Kategori 2 (bergejala ringan), tambah Dr Noor Hisham. Baki 478 lagi pesakit Kategori 3, 4 dan 5.

Dr Noor Hisham berkata 18,143 atau 80.1% daripada kes baharu membabitkan mereka yang belum divaksin atau belum lengkap dua dos.

Daripada jumlah ini, 8,367 dalam Kategori 1, Kategori 2 (9,357) dan Kategori 3 (203).  Seramai 57 lagi dalam Kategori 4, dan 150 dalam Kategori 5, katanya. – 25 Ogos, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen